Bantu graduan hadiri majlis konvokesyen, USM zahirkan penghargaan

A
A
A

GEORGETOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) menzahirkan penghargaan kepada seorang penunggang motosikal yang menjadi penyelamat kepada graduan yang terkandas dalam kesesakan trafik ketika ke majlis konvokesyen baru-baru ini.

Kontraktor perkhidmatan pencucian, Ashri Haya, 50, dijemput khas ke Dewan Tuanku Syed Putra pada hari terakhir Upacara Konvokesyen ke-59 USM dan berkesempatan beramah-mesra dengan pengurusan tertinggi universiti.

Ashri berkata, beliau amat terharu dengan penghargaan yang diberikan dan langsung tidak menyangka bantuan yang dianggapnya kecil itu membawa makna yang cukup besar buat ramai pihak.

“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan ke tempat kerja. Kebetulan saya memang menyelia kerja-kerja pencucian di USM, saya nampak graduan berkenaan terdesak mendapatkan pertolongan kerana beliau tidak henti-henti menahan penunggang motosikal.

“Disebabkan saya nampak jubah yang dipegangnya sama seperti jubah konvokesyen USM, saya sanggup tumpangkan beliau kerana simpati dan faham keadaannya yang sedang panik,” katanya ketika ditemui media di sini pada Rabu.

Ashri berkata, kesesakan jalan pada ketika itu agak teruk dan beliau sempat melihat ada di antara pengguna Jambatan Pulau Pinang terpaksa bersarapan dalam kereta, keluar dari kenderaan mengambil angin dan sebagainya.

Ashri juga tidak menyangka kisahnya menjadi tular kerana terus menyambung kerja hariannya seperti biasa selepas menumpangkan graduan berkenaan sehinggalah keesokan harinya rakan di tempat kerjanya menunjukkan berita berkaitan dirinya mendapat liputan meluas media.

Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, USM menghargai jasa baik Ashri dalam membantu graduan USM dan menyifatkan nilai murni itu perlu ada dalam setiap individu.

Katanya, walaupun pertolongannya nampak kecil, namun kesanggupan Ashri menghulur bantuan di saat insan lain sangat memerlukan perlu dijadikan contoh oleh semua pihak.

Pendaftar USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Upacara Konvokesyen Ke-59 USM, Datuk Dr Musa Ali turut merakamkan penghargaan kepada beliau dan menyifatkan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Ahsri turut memberi kesan kepada sebilangan besar masyarakat.

Kisah Ashri dan graduan berkenaan, Kevin Rayappan, 28, menjadi tular setelah Kevin dilihat sedang memegang jubah konvokesyen USM di atas jambatan sambil mencuba nasib menahan penunggang motosikal yang sedang menghala masuk ke pulau.

Ketika kejadian, kesesakan teruk di Jambatan Pulau Pinang ekoran kemalangan maut yang berlaku pada awal pagi berkenaan.