Perbanyak pusat pemulihan OKU elak tercicir akademik

Ibu bapa perlu menimbangkan beberapa faktor sebelum menempatkan anak mereka di sekolah atau pusat tertentu. - Gambar hiasan
Ibu bapa perlu menimbangkan beberapa faktor sebelum menempatkan anak mereka di sekolah atau pusat tertentu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih banyak pusat pemulihan khusus untuk kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) diperlukan bagi membantu golongan ini yang kurang sesuai menempatkan diri ke sekolah biasa (aliran perdana) atau Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Langkah ini bagi memastikan mereka tidak terus tercicir dalam bidang akademik mahupun kemahiran.

Pakar psikologi kanak-kanak yang juga pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr Noor Aishah Rosli berkata, dalam situasi ini, terdapat ibu bapa yang mempunyai anak kategori berkeperluan khas buntu dan berhadapan masalah.

Ia bukan sahaja untuk menentukan tahap pembelajaran anak mereka bahkan penempatan (sekolah) yang sesuai bagi meneruskan pembelajaran.

Di samping itu juga, beberapa ciri serta syarat yang ditetapkan oleh pihak sekolah yang perlu dipenuhi oleh kanak-kanak OKU sedikit sebanyak didakwa turut menjadi ‘halangan’ untuk ibu bapa menempatkan anak mereka dalam kedua-dua aliran berkenaan.

Pilih penempatan sesuai

Menurut Dr Noor Aishah, daripada pengalaman beliau menjalankan pemeriksaan dan penilaian terhadap kanak-kanak OKU, ibu bapa perlu menimbangkan beberapa faktor sebelum menempatkan anak mereka di sekolah atau pusat tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Kanak-kanak OKU ini, bila kita buat penilaian, kita dapat kenal pasti di mana kelemahan dan kelebihan mereka terutama apabila kita buat ujian IQ, ujian autisme dan ujian masalah gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD).

"Kanak-kanak yang ada isu (mempunyai IQ yang rendah) kurang sesuai untuk ditempatkan di sekolah biasa tetapi, kanak-kanak ini juga tidak semestinya sesuai untuk di masukkan ke PPKI... Ini kerana ada antara mereka ini boleh menguasai sesuatu kemahiran.

"Contohnya ada kanak-kanak autisme yang saya jumpa 'high functioning', iaitu hanya mengalami masalah sosial tetapi boleh belajar seperti kanak-kanak normal lain. Ringkasnya walaupun dia autisme tetapi dia boleh bercakap, ada eye contact, dia faham arahan, dia boleh berdikari pergi tandas. Saya selalu cadangkan pada ibu bapa supaya masukkan kanak-kanak kategori itu ke sekolah biasa.

"Cuma mungkin yang menjadi kebimbangan ibu bapa ialah apabila anak ini ke sekolah biasa (aliran perdana), mereka ini dibuli oleh pelajar lain. Jadi disebabkan itu saya merasakan perlunya ada lebih banyak pusat atau sekolah yang sesuai dengan pendekatan dan keperluan sebenar pelajar OKU yang terdiri daripada pelbagai kategori ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pergiat usaha, sektor swasta

Kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang merupakan satu strategi dalam pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial OKU.

Pelaksanaan program PDK di seluruh negara, sama ada di pusat PDK atau di rumah melibatkan usaha bersepadu OKU, keluarga, komuniti dan perkhidmatan kesihatan, pendidikan, vokasional dan sosial yang bersesuaian.

Berfungsi sebagai pusat intervensi awal OKU, pusat sumber maklumat OKU, pusat rujukan OKU, pusat pendaftaran OKU dan pusat advokasi, antara aktiviti yang disediakan di PDK termasuklah kemahiran motor kasar, kemahiran motor halus, perkembangan sosial, perkembangan bahasa, pengurusan diri, kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira), permainan, sukan rekreasi dan kebudayaan, latihan vokasional, terapi muzik dan lain-lain.

Mengulas mengenai inisiatif kerajaan itu, Dr Noor Aishah berkata, usaha berkenaan wajar diberikan pujian, tetapi perlu dipergiatkan lagi termasuk melibatkan sektor swasta.

Beliau yang juga pengasas klinik psikologi CPC International yang beroperasi di Bandar Baru Bangi, Selangor, berkata, perkembangan setiap individu termasuk kanak-kanak OKU adalah berbeza.

Justeru katanya, apa yang wajar ditawarkan oleh pusat pemulihan khas yang dimaksudkan perlulah selaras dengan keperluan semasa, lebih fokus dan mengikuti perkembangan kanak-kanak OKU daripada aspek akademik mahupun kemahiran.

"Walaupun kanak-kanak OKU ada yang dalam kategori lemah slow learner, menghidap autisme dan sebagainya, namun jika mereka terus diabaikan dan tidak diberi pelajaran dan kemahiran sewajarnya, akibatnya tidak ada ilmu yang boleh dikuasai walaupun perkara asas.

"Pusat pemulihan yang saya maksudkan ini wajar menekankan kepada keperluan sebenar kanak-kanak OKU yang tak boleh pergi ke sekolah biasa dan juga PPKI. Pusat ini akan lebih fokus kepada perkembangan individu, sistem pembelajaran secara individu dan kumpulan (bergantung kepada kesesuaian) dan akan ada sistem penilaian bagi mengenal pasti tahap peningkatan pelajar dari sudut akademik dan kemahiran.

"Untuk masuk ke pusat ini penilaian akan dibuat terlebih dahulu agar silibus dan ilmu pengetahuan yang sepadan dengan kemampuan kanak-kanak OKU dapat disediakan,” katanya yang berhasrat membuka sebuah pusat pemulihan khas kanak-kanak OKU bagi tujuan sama.

Cara kerja berbeza

Menyifatkan sebagai sesuatu yang menyedihkan sekiranya kanak-kanak OKU terutama yang 'high functioning' tidak mendapat penempatan sesuai dengan keperluan, beliau turut berkata, cara kerja dan khidmat yang ditawarkan oleh pusat pemulihan untuk golongan itu mungkin perlu ditambah baik.

"Jika di luar negara, cara kerja (membantu kanak-kanak OKU) adalah bersifat one-to-one, ada silibus khusus untuk setiap kanak-kanak. Tetapi pada masa sama kita juga perlu faham di Malaysia agak sukar untuk kita memberikan perkhidmatan sebegitu antara sebabnya kita tak ramai pakar dalam bidang ini untuk membantu kanak-kanak OKU secara individu.

"Cuma mungkin kita boleh tambah baik daripada aspek perlu ada penilaian akademik dan kemahiran yang dapat dikuasai kanak-kanak ini dalam tempoh, sebagai contoh, selepas lima bulan menghadiri kelas.

"Saya juga suka untuk menekankan aspek kemahiran untuk kanak-kanak OKU. Kemahiran ini penting bukan sahaja untuk meningkatkan kefahaman dalam akademik tetapi juga membantu untuk merangsang dan meningkatkan tahap IQ,” jelasnya, menambah agar kerajaan, penyelidik atau mana-mana pendidik terlibat sudi untuk mengambil inisiatif menubuhkan pusat pemulihan khas yang dimaksudkan ini.

Guru terlatih, pilihan terbaik

Sementara itu, pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaaan Malaysia Profesor Madya Dr Hasnah Toran berkata, tenaga pengajar yang akan mengajar di pusat pemulihan khas perlu daripada kalangan guru terlatih dan bukan sukarelawan yang diberikan elaun seperti di kebanyakan pusat pemulihan.

Ia penting bagi memastikan pencapaian matlamat iaitu tidak ada anak-anak OKU yang tercicir akibat tidak dapat memasuki aliran perdana atau PPKI.

Beliau yang juga Pengerusi Raudhah Autisme berkata, pemilihan pelajar yang layak ke pusat itu juga perlu diberi perhatian agar setiap peringkat masyarakat dapat menikmati peluang yang sama, lebih-lebih lagi dengan tidak mengenepikan golongan B40.

"Jika tak isunya akan sama saja... bukalah berapa banyak pusat atau sekolah khas pun, tetapi jika ada isu ‘pilih bulu’, diskriminasi pada golongan tertentu maka isu pelajar OKU tercicir, ketinggalan ni akan terus berlaku sampai bila-bila,” katanya.

Turut berkongsi pandangan, guru prasekolah PPKI Sekolah Kebangsaan Dato’ Penghulu Luak Jempol, Negeri Sembilan, Nurhayati Zainudin, yang berkata, ibu bapa akan mempunyai peluang dan pilihan untuk mendapatkan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka sekiranya lebih banyak pusat atau sekolah kanak-kanak OKU dibuka, sama ada oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun secara individu.

Beliau bagaimanapun berharap agar pusat atau sekolah berkenaan tidak hanya dibuka di bandar besar sahaja dan yuran yang dikenakan juga perlulah berpatutan dan tidak membebankan ibu bapa.

"Usaha mendidik anak-anak OKU ini haruslah berterusan dengan penglibatan semua pihak termasuk kerajaan dan swasta agar kemenjadian anak-anak OKU ini dapat diserlahkan bakat dan kemampuan mereka.

"Ramai anak-anak OKU yang memiliki kepintaran serta bakat yang luar biasa, ” tambahnya. - Bernama