Bunyi hon punca dua lelaki bergaduh

Insiden pergaduhan melibatkan dua lelaki di tepi Jalan Gasing tular di media sosial sejak Isnin.
Insiden pergaduhan melibatkan dua lelaki di tepi Jalan Gasing tular di media sosial sejak Isnin.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Gara-gara membunyikan hon kereta didakwa menjadi punca kepada pergaduhan melibatkan dua lelaki di tepi Jalan Gasing di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kedua-dua individu tersebut telah tampil membuat laporan polis pada jam 6.31 petang Isnin.

"Hasil siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham antara kedua-dua lelaki yang mencetuskan pergaduhan itu, ia disebabkan tindakan salah seorang daripada mereka yang memarahi dan menampar lelaki itu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya terkesan satu video berdurasi tiga minit 31 saat yang tular di media sosial.

"Dalam video tersebut, salah seorang lelaki mencetuskan provokasi dan menggunakan perkataan kesat kepada seorang lelaki lain, sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

"Bagaimanapun, kedua-dua lelaki itu telah bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini dengan baik dan tidak mahu sebarang siasatan lanjut diteruskan," katanya.