Lawatan sulung ke Jepun beri manfaat besar kepada negara

Ismail Sabri dalam pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida
Ismail Sabri dalam pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida
A
A
A

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengadakan lawatan kerja rasmi sulung ke Jepun pada minggu lalu sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021.

Lawatan kerja itu dalam konteks penyertaan julung kali di Persidangan Antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia di atas undangan Nikkei Incorporated.

Perdana Menteri turut menerima Ijazah Kehormat Doktor Perubatan daripada Universiti Nihon, antara universiti swasta tertua di Jepun yang merupakan pengiktirafan kepada Keluarga Malaysia yang telah sama-sama menggembleng tenaga dalam menangani wabak Covid-19.

Ismail Sabri menerima anugerah berkenaan daripada Presiden Universiti Nihon, Dr Naoto Kato.

Bagi mengukuhkan hubungan dan kerjasama di antara Malaysia dan Jepun dalam pelbagai bidang, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida serta program-program bersama ketua-ketua industri dan wakil masyarakat perniagaan.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri sempat mengadakan pertemuan santai bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Leong membincangkan isu-isu berbangkit membabitkan kedua-dua negara.

Pada hari pertama lawatan, Perdana Menteri telah mengadakan lawatan ke Dewan Bandaraya Itabashi dan berpeluang mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua industri dan wakil-wakil syarikat Jepun yang berada dalam wilayah Itabashi.

Kerjasama baharu turut dipersetujui di antara Bandar Itabashi dengan Bandaraya Kuala Lumpur termasuk kerjasama bandar pintar dan Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) dan kerjasama dalam konteks mengendalikan bencana terutamanya usaha-usaha dalam menangani dan mengatasi isu banjir.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah yang turut dalam lawatan itu telah mengadakan perbincangan dengan Datuk Bandar Itabashi, Takeshi Sakamoto berhubung isu yang sama, iaitu usaha-usaha menangani dan mengatasi isu banjir di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri telah mengotakan iltizamnya untuk memartabatkan Bahasa Melayu apabila menyampaikan ucaptama sepenuhnya dalam Bahasa Melayu pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia.

Pada persidangan yang juga dikenali sebagai Persidangan Nikkei itu, Ismail Sabri turut mengusulkan tiga perkara utama untuk membolehkan Asia memainkan peranan dalam menerajui dunia yang berbelah pendirian.

Tiga usul itu ialah memperkasakan integrasi ekonomi serantau, mengukuhkan kerjasama dan mekanisme perundingan dan pemuafakatan dalam menangani cabaran perubahan iklim.

“Ini adalah antara perkara yang boleh diberikan perhatian dalam menawarkan penyelesaian isu sejagat dan pada masa yang sama, meningkatkan kerjasama pelbagai hala dalam kalangan negara di Asia,” katanya pada persidangan yang bertemakan, ‘ Mentakrif Semula Peranan Asia Dalam Dunia Yang Berbelah Pendirian.’

Beliau turut menekankan pendekatan Malaysia berhubung isu-isu serantau dan antarabangsa, di mana usaha-usaha yang lebih jitu diperlukan ke arah mengukuhkan lagi kerjasama dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh ASEAN.

“Saya telah mengambil peluang berkongsi tiga isu utama iaitu, perubahan iklim, jaminan makanan dan jurang antara negara,” katanya lagi.

Acara kemuncak bagi lawatan kerja rasmi Perdana Menteri ke Tokyo ialah pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida. Sebagaimana ucapan di Nikkei, Perdana Menteri juga berbicara dengan Kishida dalam Bahasa Melayu.

Perbincangan antara Perdana Menteri dengan Kishida sangat positif. Banyak persefahaman dan kesepakatan telah dipersetujui terutamanya dalam konteks pengukuhan hubungan dan kerjasama Malaysia-Jepun.

Tahun 2022, merupakan ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik Malaysia-Jepun dan juga ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT).

Perdana Menteri telah menyatakan penghargaan kepada Kishida di atas sokongan dan bantuan Jepun dalam usaha-usaha pembangunan di Malaysia dalam konteks pelaksanaan DPT.

Perdana Menteri juga telah menyatakan kesediaan Malaysia untuk meneruskan DPT dengan Jepun secara membina program-program kerjasama baharu seperti tenaga, bandar pintar, alam sekitar dan perubahan iklim, dan telah disambut baik oleh Kishida.

Kishida turut menyambut baik cadangan supaya hubungan kedua-dua negara dinaikkan taraf ke peringkat yang lebih komprehensif. Pada tahun 2015, Kishida telah mengadakan lawatan ke Malaysia sebagai Menteri Luar Negeri dan pada tahun tersebut taraf hubungan Malaysia-Jepun telah ditingkatkan daripada ‘Enhanced Partnership’ kepada ‘Strategic Partnership.’

Kedua-dua Perdana Menteri bersetuju supaya perbincangan peringkat pegawai diadakan bagi menyelaras penaikan taraf hubungan ini seperti ‘Comprehensive Strategic Partnership’ atau seumpamanya, pelan-pelan tindakan yang akan dilaksanakan oleh kedua-dua negara, serta tempoh masa yang sesuai bagi pelancaran perkongsian yang lebih komprehensif ini.

Dalam pertemuan itu juga, kedua-dua Perdana Menteri bersetuju bahawa pembukaan sempadan Malaysia pada 1 April 2022 dan pembukaan sempadan Jepun kepada pengembara dari Malaysia bermula 1 Jun 2022 akan membantu pemulihan pasca pandemik dan juga perhubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Mengenai hasrat Jepun untuk menubuhkan sebuah kampus cawangan institusi pengajian tinggi (IPT) Jepun di Malaysia iaitu Universiti Tsukuba, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa proses penubuhan kampus tersebut akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Kishida turut membangkitkan cadangan mengenai penubuhan ‘Asia Zero Emissions Community’ dan Perdana Menteri telah menyatakan sokongan Malaysia terhadap inisiatif ini, telah dinyatakan dengan jelas ketika menyampaikan ucap tama di Persidangan Nikkei.

“Idea PM Kishida ini adalah sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang meletakkan sasaran mengurangkan sebanyak 45 peratus intensiti pelepasan karbon pada tahun 2030, dan pengurangan sehingga 60 peratus pada 2035,” kata Ismail Sabri.

Sememangnya kerjasama Malaysia-Jepun dalam bidang ekonomi sangat menggalakkan. Jepun merupakan rakan dagang ke-4 terbesar Malaysia sejak 2015. Nilai dagangan pada 2021 berjumlah USD35.9 bilion, berbanding USD29.6 bilion pada 2020 (meningkat sebanyak 20 peratus).

Jepun juga merupakan pelabur ke-3 terbesar dalam kategori jumlah projek sektor pembuatan. Nilai pelaburan dari tahun 1980 hingga 2021 sebanyak USD27.6 bilion (2,709 projek sektor pembuatan dilaksanakan).

Pada tahun 2021, sebanyak USD1.81 bilion jumlah pelaburan telah dicatatkan (melibatkan 25 projek sektor pembuatan diluluskan).

Dalam perbincangan dengan Kishida, kedua-dua pemimpin bersetuju supaya kerjasama bidang ekonomi perdagangan dan pelaburan terus dipertingkatkan.

Mereka turut bersetuju supaya kedua-dua negara meneroka kerjasama dalam bidang-bidang baharu seperti industri termaju (cutting edge industries), industri penerbangan dan angkasa, bandar pintar, bekalan tenaga, dan perubahan iklim.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri dan Kishida turut menyentuh isu-isu serantau dan antarabangsa yang diberi perhatian utama oleh masyarakat antarabangsa pada masa ini.

Pertamanya perkembangan di Myanmar. Perdana Menteri dan Kishida bersetuju supaya Malaysia dan Jepun meneruskan kerjasama dalam mencari penyelesaian terbaik kepada situasi di Myanmar. Kerjasama ini sama ada berbentuk kerjasama dua hala Malaysia-Jepun atau kerjasama dalam kerangka ASEAN.

Berhubung konflik Rusia-Ukraine, Kishida menyatakan bahawa beliau faham pendirian ASEAN dan Malaysia terhadap konflik ini.

Perdana Menteri juga telah mengambil peluang menjelaskan pendirian Malaysia berhubung konflik ini. Sememangnya Malaysia sangat gusar dan bimbang tentang kesan konflik tersebut. Ini termasuk aspek kemanusiaan di mana lebih 4 juta rakyat Ukraine telah menjadi pelarian.

Begitu juga dengan kesan yang dialami oleh negara-negara yang tidak terlibat secara langsung dalam konflik tersebut seperti Malaysia. Ini meliputi kesan ke atas aspek jaminan bekalan makanan, serta kenaikan harga barangan dan inflasi yang dihadapi oleh banyak negara termasuk Malaysia.

Perdana Menteri telah menyatakan bahawa Malaysia tidak menyokong sebarang pelanggaran prinsip-prinsip fundamental seperti kedaulatan dan keutuhan wilayah setiap negara dan undang-undang antarabangsa.

Dalam konteks ini Malaysia telah menyokong resolusi-resolusi yang telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB dan Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Perdana Menteri juga menekankan peri pentingnya konflik ini diselesaikan secara damai antara pihak yang terbabit. Negara-negara maju termasuk Jepun boleh memainkan peranan ke arah mencapai objektif ini.

“Langkah pemberian senjata kepada Ukraine tidak akan membantu memulihkan keadaan. Sebaliknya ia akan merumitkan lagi jalan penyelesaian dan akan menyebabkan peperangan berpanjangan,” katanya.

Berhubung isu Korea Utara, kedua-dua pemimpin bersependapat bahawa keutamaan yang perlu ditekankan ialah pematuhan penuh kepada resolusi-resolusi Majlis Keselamatan PBB, penghapusan program senjata nuklear, dan penyelesaian kepada isu-isu penculikan rakyat asing, termasuk rakyat Jepun.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengadakan lawatan kerja rasmi sulung ke Jepun pada minggu lalu sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengadakan lawatan kerja rasmi sulung ke Jepun pada minggu lalu sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021.

Pada masa ini Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Korea Utara dan telah menutup Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang dan Kedutaan Besar Korea Utara di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri dan Kishida turut membincangkan isu-isu berkaitan Laut China Selatan dan keperluan untuk semua pihak memastikan supaya Laut China Selatan terus menjadi kawasan yang aman dan bebas daripada ancaman.

Dalam mengendalikan isu Laut China Selatan yang kompleks dan melibatkan hubungan antara negara, semua negara yang berkaitan perlu kekal komited dalam mengekalkan Laut China Selatan sebagai perairan yang aman dan stabil.

“Ini bagi mengelakkan perkara-perkara yang boleh menjejaskan keamanan dan keselamatan pelayaran di Laut China Selatan,” kata Ismail Sabri.

Perdana Menteri telah menyatakan bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ancaman kepada kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia di Laut China Selatan.

“Tindakan-tindakan bersesuaian telah Malaysia ambil dalam bentuk bantahan dan rundingan dengan pihak terlibat,” katanya.

Perdana Menteri dan Kishida bersetuju perbincangan mereka sangat produktif dalam memperkukuhkan ekonomi dan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun.

Ini termasuk dalam konteks kerjasama ekonomi serantau seperti Kerangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF), Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Perdana Menteri telah mencadangkan bahawa isu-isu serantau dan antarabangsa semasa pertemuan tersebut dapat dibincangkan secara terperinci dalam rangka Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Jepun yang akan diadakan pada tahun hadapan.

“Kami akan terus berhubung rapat bagi membincangkan dan menetapkan hala tuju kerjasama Malaysia-Jepun serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang penting kepada kedua-dua negara,” katanya.

Antara pencapaian yang signifikan dalam lawatan itu, Perdana Menteri dan Kishida telah menyaksikan pemeteraian tiga memorandum kerjasama (MOC) iaitu:

Memorandum Kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Jepun (METI) mengenai Industri Pesawat (diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) serta Memorandum Kerjasama dalam Rangka Kerja Asas bagi Perkongsian Maklumat Operasi berkaitan Sumber Pekerja Asing dengan status penduduk kategori pekerja mahir yang dikenal pasti (diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia).

Selain itu, Memorandum Kerjasama Antara Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun (MEXT) mengenai kerjasama dalam bidang belia dan sukan (diterajui oleh Kementerian Belia dan Sukan).

Dalam sesi lawatan kerja rasmi ini juga, Perdana Menteri telah mengadakan sesi libat urus dan ramah mesra bersama hampir 30 syarikat konglomerat Jepun.

Syarikat-syarikat multinasional Jepun juga telah menyatakan hasrat untuk menerokai peluang perdagangan dan meningkatkan pelaburan di Malaysia antaranya ialah Mitsubishi Corporation, Mitsui & Co Ltd, Marubeni Corporation dan banyak lagi.

Dalam sesi khas pula, banyak hasil yang bakal dapat dimanfaatkan Malaysia, antaranya cadangan JAMECA untuk menganjurkan Seminar Polisi Pandang ke Timur di Malaysia pada Ogos tahun ini.

Seterusnya usaha sama di antara Mitsubishi Power dengan syarikat tempatan, THB Power Sdn Bhd dalam menyediakan ‘energy solution’ yang selari dengan komitmen kerajaan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Hasil daripada mudah cara pelaburan oleh kerajaan, Perdana Menteri turut menerima hasrat syarikat Mitsui Fudosan untuk menambah pelaburan di Malaysia dalam sektor pembangunan hartanah.

Lawatan kerja rasmi di Jepun ini mampu merancakkan kembali sektor ekonomi di Malaysia khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia.

Malah Perdana Menteri yakin lawatan kerja rasmi sulung ke Jepun ini akan membuka lebih banyak peluang-peluang baru dalam semua sektor yang bakal memanfaatkan Keluarga Malaysia.

“Saya percaya matlamat lawatan kerja rasmi ini tercapai dan hubungan antara Malaysia dan Jepun terus kukuh serta memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara,” katanya.

*AZMI TARMIZI ialah Setiausaha Akhbar 1 kepada Perdana Menteri