KPDNHEP Perlis tumpas sindiket penyelewengan petrol, diesel

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Sindiket penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi di Perlis tumpas selepas penahanan empat warga tempatan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kampung Kolam, Padang Besar oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Isnin.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perlis, Mohamad Amir Abdullah berkata, serbuan pertama dilakukan di stesen minyak berikutan risikan dilakukan sejak beberapa minggu lepas.

Beliau berkata, dalam serbuan di stesen minyak sekitar jam 12.45 tengah hari, pihaknya mendapati dua lelaki sedang leka mengisi minyak petrol RON95 dan diesel ke dalam tong jenis jerry can diletakkan dalam kereta jenis Proton Iswara dan Proton Waja.

"Hasil siasatan dijalankan pasukan serbuan mendapati terdapat transaksi pembayaran dilakukan oleh dua lelaki terbabit bagi pembelian kedua-dua bahan api bersubsidi berkenaan secara tunai kepada stesen minyak terlibat.

"Berikutan itu, seorang wanita yang juga pemilik stesen minyak berkenaan dan dua lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat KPDNHEP Perlis di sini pada Selasa.

Beliau berkata, berikutan itu, satu lagi serbuan dijalankan pada jam 1 petang di sebuah stor dipercayai dijadikan tempat pengumpulan minyak bersubsidi berikutan penemuan beberapa tong dram disyaki berisi minyak Petrol RON95 semasa pemeriksaan dilakukan.

"Seorang wanita tempatan dipercayai pemilik premis turut ditahan untuk siasatan lanjut sewaktu serbuan berkenaan.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli minyak bersubsidi di stesen minyak dan dikumpulkan di stor terlibat untuk pengedaran atau penjualan kepada kenderaan asing berhampiran Padang Besar," katanya.

Mohamad Amir berkata, menerusi dua serbuan itu, pihaknya telah menyita 2,420 liter minyak petrol RON95, 500 liter diesel, dua buah kenderaan dan beberapa barangan lain dengan nilai keseluruhan berjumlah RM19,056.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

"KPDNHEP merasa kesal atas tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan bagi menyeleweng bahan api bersubsidi ini.

"Amaran keras turut diberikan kepada mana-mana pengusaha stesen minyak agar mematuhi peraturan ditetapkan bagi menggelakkan tindakan diambil," katanya. - Bernama