Polis KL tunggu arahan bantu Imigresen buru 60 pelarian Rohingya

Azmi (lima, kiri) menghadiri Majlis Hari Raya di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, pada Selasa
Azmi (lima, kiri) menghadiri Majlis Hari Raya di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, pada Selasa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur bersedia membantu Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) mengesan seramai 60 pelarian etnik warga Rohingya yang lolos dari Depoh Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap dalam insiden rusuhan pada April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya sedang menunggu arahan daripada Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya.

"Saya difahamkan Bukit Aman dan Imigresen telah mengadakan mesyuarat berkaitan kes itu," katanya ketika ditemui di Majlis Hari Raya di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini, pada Selasa.

Azmi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan bersesuaian untuk mengesan baki pelarian etnik warga Rohingya seramai 60 orang itu.

"Kami akan mengadakan sekatan jalan raya jika ada maklumat diperoleh mengenai 60 pelarian etnik warga Rohingya itu," katanya.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memburu baki pelarian etnik warga Rohingya yang masih lolos dari Depoh Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap dalam insiden rusuhan pada April lalu iaitu seramai 60 orang.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya sedang melancarkan operasi di seluruh negara bagi mengesan 60 individu berkenaan.

Pada 20 April lalu, seramai 528 pelarian Rohingya melarikan diri dari depot tahanan sementara berkenaan selepas memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang kira-kira jam 4.30 pagi.

Bagaimanapun, enam daripada mereka maut dirempuh kenderaan ketika cuba melintas di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Jawi, Pulau Pinang.

Hamzah mengesahkan masih terdapat 60 pelarian etnik Rohingya yang lolos dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Relau di Sungai Bakap belum berjaya ditahan setakat ini.