Vaksin Covid-19: PICKids tamat hari ini, selepas ini perlu bayar

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) secara percuma melabuhkan tirainya hari ini (Selasa).

Bermula 1 Jun, kerajaan tidak lagi memberi suntikan pelalian itu kepada golongan tersebut, sebaliknya perlu mendapatkannya di klinik swasta secara berbayar.

Pengecualian diberikan kepada kanak-kanak yang terpaksa membatalkan janji temu sebelum atau pada 31 Mei 2022 akibat jangkitan Covid-19.

Sejak dilancarkan pada 2 Februari lalu, sebanyak 70,923,930 dos yang merangkumi 27,981,746 dos pertama dan 27,059,981 dos kedua serta 16,096,363 dos penggalak diberikan kepada kanak-kanak.

Labuan merekodkan vaksinasi tertinggi iaitu 22.1 peratus diikuti Sarawak (20.5); Melaka (20.0); Lembah Klang (18); Perak (17.4); Negeri Sembilan (16.8); Johor (16.5); Pahang (15.4); Kedah (13.8); Sabah (13.6); Perlis (11); Pulau Pinang (10.7); Terengganu (9.9) dan Kelantan (7.2) peratus setakat pada 30 Mei.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menegaskan kerajaan tidak lagi melanjutkan tarikh pemberian vaksin Covid-19.

Katanya, kerajaan telah memberi tempoh masa yang panjang untuk ibu bapa mendapatkan suntikan vaksin kepada anak-anak mereka.

Sebelum ini, tarikh akhir PICKids ditetapkan pada 15 Mei namun dilanjutkan ke 31 Mei selepas mengambil kira cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!