Wartawan TV Pakistan dipecat selepas sertai lawatan ke Israel

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

NEW DELHI - Seorang wartawan penyiaran Pakistan dipecat kerana menyertai lawatan ke Israel anjuran kumpulan asing yang mahu mempromosikan hubungan pro-Israel di negara Islam.

Menteri Penerangan dan Penyiaran Pakistan, Marriyum Aurangzeb berkata, wartawan itu menyertai lawatan berkenaan dalam kapasiti peribadinya," menurut Pakistan Television Corporation (PTV).

"Wartawan penyiaran PTV itu telah ditamatkan perkhidmatannya," katanya.

Pakistan tidak mengiktiraf negara Israel dan menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.

Lawatan itu yang turut dihadiri warga Pakistan-Amerika mencetuskan perbalahan di Pakistan, mendorong kerajaan untuk menjelaskan bahawa tiada perubahan dalam dasarnya berkenaan dengan negara Yahudi itu.

Antara yang mengkritik lawatan itu adalah bekas Perdana Menteri, Imran Khan yang membangkitkan isu itu pada perhimpunan awam. Sementara Ahli Parlimen Jamaat-e-Islami, Mushtaq Ahmad Khan menuntut agar kerakyatan Pakistan bagi warga Pakistan-Amerika dibatalkan.

Lawatan itu ditaja oleh sebuah organisasi bernama Sharaka, yang mendakwa diasaskan oleh pemimpin muda dari Israel dan wilayahTeluk dengan beberapa pejabat di rantau Teluk Arab dan Israel.

Ia bertujuan untuk mengambil kesempatan daripada perjanjian 'Abraham Accords' baru-baru ini untuk mewar-warkan di dunia Islam pengiktirafan bagi Israel, khususnya di negara-negara Arab.

Presiden Israel Isaac Herzog menyifatkan pertemuan dengan kumpulan Pakistan-Amerika itu sebagai 'pengalaman yang mengagumkan'.

Kementerian Luar Pakistan menolak 'pandangan mana-mana delegasi dari Pakistan yang melawat Israel' dan menegaskan bahawa 'tiada sebarang perubahan' dalam dasar tradisional negara itu mengenai Palestin.

"Laporan lawatan berkenaan adalah anjuran NGO asing yang tidak berpangkalan di Pakistan," kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ia menyebut terdapat konsensus nasional mengenai isu Palestin.

"Penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka, berdaya maju berdasarkan sempadan sebelum 1967 dan Al-Quds Al-Sharif (Baitulmaqdis) sebagai ibu kotanya, selaras dengan resolusi PBB dan OIC yang berkaitan, adalah penting untuk keamanan yang adil dan berkekalan di rantau itu," kata kementerian itu. - Bernama