Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge hasil penyertaan dalam APTE

Mohd Al Khalifa Mohd Affnan
Mohd Al Khalifa Mohd Affnan
A
A
A

KOTA KINABALU - Penyertaan dalam Program Pertukaran Guru Asia Pasifik (APTE) pada 2017, mendorong Mohd Al Khalifa Mohd Affnan, 36, aktif dalam program peringkat antarabangsa terutama yang berkaitan dengan kerjayanya sebagai guru di Kolej Vokasional Keningau (KVK).

Mohd Al Khalifa yang menerima Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022 pada 24 Mei lepas berkata, APTE di Sekolah Tinggi Teknikal Seoul (STHS) Korea Selatan telah meluaskan mindanya untuk lebih berminat dalam bidang robotik.

"Memandangkan di Malaysia saya mengajar di sekolah vokasional, saya telah ditugaskan ke STHS dan ini membuatkan saya semakin dekat dalam memahami Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada skala global.

"Sekembalinya ke Malaysia saya seperti dapat tenaga baharu, perkara yang biasa saya lakukan sebelum menyertai program tersebut kini saya lakukan dengan lebih bersemangat,” katanya kepada Bernama di sini, pada Isnin.

Jumaat lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, serta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan tahniah kepada Mohd Al Khalifa kerana memenangi anugerah tersebut.

KVK, terletak di daerah Keningau di pedalaman Sabah iaitu kira-kira 128 kilometer di selatan Kota Kinabalu.

Mohd Al Khalifa berkata beliau dan kumpulannya menyertai Pertandingan Robotik Dunia peringkat kebangsaan buat pertama kali pada Julai 2018 dan menang tempat ketiga, sekali gus membolehkan mereka mewakili Malaysia ke Pertandingan Robotik Antarabangsa di Dewan Pameran Kintex di Korea Selatan pada Oktober 2018.

Bapa kepada seorang anak lelaki itu berkata, kumpulannya juga meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Robotik Dunia pada Ogos 2018 di Kuala Lumpur.

Guru Bahasa Inggeris itu berkata, sejak dari situ, ramai pelajarnya semakin menunjukkan minat dalam robotik sehingga mendorongnya menubuhkan kelab kokurikulum bagi menghimpunkan pelajar yang mempunyai minat sama untuk bermain, meneroka dan mendidik mereka tentang dron serta robot.

"Sejak 2018 saya juga telah menganjurkan tiga program pertukaran antarabangsa melibatkan institusi pendidikan di Korea Selatan,” katanya yang turut dipilih oleh APTE sebagai Guru Terbaik 2017.

Mengulas mengenai Anugerah Guru Dedikasi Cambridge, Mohd Al Khalifa berkata, beliau langsung tidak menjangka menang kerana penerima anugerah dipilih berdasarkan undian tertinggi dalam kalangan enam pemenang peringkat wilayah.

"Saya tidak pernah terfikir pun untuk mendapat undian tinggi daripada orang ramai,” katanya yang berasal dari Shah Alam, Selangor.

Mohd Al Khalifa dipilih kerana berjaya memberi peluang kepada pelajar merasai pengalaman di peringkat antarabangsa dengan mewujudkan program pertukaran budaya antara KVK dengan institusi pendidikan Korea Selatan.

Sebagai usaha mengangkat imej pendidikan vokasional dalam kalangan pelajarnya, beliau turut memperkenalkan projek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dengan melatih pelajar dalam robotik, dron, pengekodan dan bidang lain yang berasaskan teknologi. - Bernama