Kewujudan sekolah vernakular tidak belakangkan bahasa kebangsaan: MCA

Chong Sin Woon
Chong Sin Woon
A
A
A

SHAH ALAM - MCA menegaskan bahawa kewujudan sekolah vernakular di dalam negara tidak membawa maksud institusi tersebut membelakangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ia selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Ahad memutuskan sekolah vernakular adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, semua pihak diharapkan dapat menerima keputusan perundangan tersebut dan tidak mencetuskan sebarang isu membabitkan keabsahan sekolah vernakular atau mengaitkannya dengan isu perkauman.

“Pastinya, sebagai warga Malaysia, kita sentiasa mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menyatukan warganegara Malaysia, bahasa yang mencerminkan jati diri rakyat Malaysia dan kami sentiasa berbangga dengan Bahasa Melayu.

“Dalam mempertahankan sekolah vernakular, bukanlah bererti kita membelakangkan Bahasa Melayu. Jauh sekali.

“Sebaliknya, seperti yang dinyatakan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Mohamad Abazafree Abbas, sekolah vernakular adalah sebahagian daripada warisan penggubal Perlembagaan Persekutuan kerana kita adalah negara berbilang kaum,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Ahad itu merupakan penolakan saman yang difailkan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) berhubung keabsahan sekolah vernakular.

Saman difailkan difailkan terhadap Menteri Pendidikan dan kerajaan Malaysia bagi mencabar perlembagaan mengikut Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 29 Disember 2021 memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan Bahasa Cina dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.

Mengulas lanjut, Sin Woon berkata, sekolah vernakular sememangnya diberikan pengkiktirafan sewajarnya semenjak selepas merdeka di bawah Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996.

“Sekolah vernakular sudah lama diiktiraf dalam kerangka perundangan sistem pendidikan, bahkan sebelum Merdeka dan Perlembagaan Persekutuan digubal seperti yang dinyatakan dalam Ordinan Pelajaran 1952 dan Ordinan Pelajaran 1957,” ujarnya.