Lelaki Rohingya ditahan cuba lolos sekatan, langgar polis trafik

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Padah melanggar anggota polis trafik, seorang lelaki Rohingya diberkas dalam kejadian berhampiran Jambatan Raja Nala di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika anggota polis berkenaan bersama beberapa anggota lain menjalankan sekatan jalan raya di lokasi kejadian.

"Suspek berumur 30-an itu menunggang sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan.

"Ketika pemeriksaan dijalankan, suspek bertindak melarikan diri menggunakan motosikal yang ditunggangnya, namun tindakan tersebut dihalang mangsa mengakibatkan suspek bertindak melanggar mangsa.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara pada Isnin.

Katanya, suspek kemudian berjaya diberkas sejurus selepas kejadian.

"Pemeriksaan dijalankan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah.

"Siasatan mendapati suspek bertindak sedemikian akibat panik disebabkan tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan dokumen perjalanan," katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.