X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Program silat perlu diteruskan, simbolik perpaduan masyarakat: PM

Program silat perlu diteruskan kerana ia simbolik kepada penyatuan ummah dan perpaduan masyarakat. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Program silat perlu diteruskan kerana ia simbolik kepada penyatuan ummah dan perpaduan masyarakat dalam menempuh cabaran dari dalam dan luar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru Ismail Sabri berkata, ahli silat harus berada dalam keadaan bersedia bagi mengurus segala perjalanan persilatan di negara ini.

Beliau berkata, pesilat sebagai benteng ketiga pertahanan negara boleh membantu kerajaan untuk mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara yang sedang dikecapi Keluarga Malaysia pada masa ini.

"Keharmonian dan keamanan negara harus dipertahankan kerana kejayaan kita ini juga bergantung kepada keadaan negara yang aman dan damai serta diurus tadbir dengan baik.

"Bagaimanapun semua kejayaan dan pencapaian negara tidak berlaku sekelip mata kerana ia hasil daya usaha generasi Keluarga Malaysia yang terdahulu yang seharusnya disambung oleh generasi yang ada," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perhimpunan dan Penyampaian Ijazah Ke-36 Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), di sini, pada Ahad.

Hadir sama Ulul Amri PSSLM Datuk Seri Najib Tun Razak, Mahaguru Muda PSSLM Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan penyandang Selendang Kehormat Tertinggi PSSLM Tan Sri Noh

Perdana Menteri berkata silat bukan sahaja mengajar ahli-ahlinya mengenai seni mempertahanan diri, tetapi lebih utama adalah untuk membina satu masyarakat yang memiliki ketahanan dalaman, jati diri, disiplin, pembentukan sahsiah tinggi dan melahirkan masyarakat yang mempunyai kesetiaan serta kecintaan kepada tanah air.

"Sesungguhnya elemen-elemen ini adalah penting di dalam menjayakan hasrat kerajaan bagi mencapai hasrat Keluarga Malaysia seperti yang digariskan.

"Bagi merealisasikan peranan yang boleh dimainkan oleh ahli-ahli silat di dalam memastikan kedaulatan dan kemakmuran negara dipertahankan, pertemuan seperti ini dapat memberi manfaat secara keseluruhannya," katanya.

Ismail Sabri berkata, silat juga perlu dipertahankan supaya satu daripada budaya persilatan yang telah bertapak sekian lama dapat dikekalkan dan diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Sehubungan itu beliau menyeru supaya pertubuhan silat memperluaskan budaya silat menerusi pelbagai saluran untuk kakitangan awam dan swasta serta institusi pengajian tinggi yang diyakini mampu membentuk remaja lebih berperibadi dan mempunyai nilai-nilai murni.

Menurutnya silat memainkan peranan besar dalam membantu kerajaan menghindar belia dan beliawanis negara daripada gejala tidak sihat dengan melatih mereka keperibadian baik, mulia, berkeyakinan diri, berdisiplin dan patuh kepada pemimpin melalui latihan silat.

"Peranan yang dimainkan oleh silat begitu besar dan meluas. Daripada sudut budaya dan sukan, silat berupaya memperkenalkan identiti Malaysia ke serata dunia. Imu silat harus diinstitusikan sebagai wadah dan wacana perkembangan ilmu melalui strategi berlandaskan agenda pendidikan, warisan budaya dan kesukanan," katanya.

Menurutnya ini jelas terbukti apabila kerajaan memberi pengiktirafan kepada silat sebagai satu warisan kebangsaan pada 2015, yang merupakan langkah awal kerajaan dalam memastikan budaya itu tidak pupus sebaliknya terus dipraktikkan dan diwarisi.

Selain pengiktirafan silat sebagai salah satu seni bela diri rasmi negara, beliau berkata pengiktirafan terhadap perjuangan pesilat turut diberikan, contohnya perjuangan Allahyarham Mahaguru Tan Sri Omardin Mauju dalam seni silat negara.

"Gelaran 'Pendekar Negara' yang dianugerahkan kepada Allahyarham telah menaikkan imej silat itu sendiri. Sumbangan Allahyarham begitu besar dalam sejarah persilatan moden negara. Diharapkan selepas beliau akan lahir insan-insan yang akan diiktiraf kerajaan dalam dunia persilatan," katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan akan meneruskan pembinaan Kompleks Silat Negara yang diharap dapat memperkenalkan seni silat negara di serata dunia.

Terdahulu Ismail Sabri turut menerima anugerah Selendang Kehormat Tertinggi yang disifatkannya sebagai satu pengiktirafan dan penghargaan tertinggi. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!