Lelaki maut nahas motosikal, lori

Keadaan motosikal ditunggang mangsa.
Keadaan motosikal ditunggang mangsa.
A
A
A

NILAI - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kampung Rawa Hilir, Lenggeng di sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu, mangsa Mohamad Iskandar Abdollah Zawawi, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Modenas Kriss seorang diri.

"Hasil siasatan awal mendapati, mangsa dikatakan cuba memotong kenderaan di hadapannya, namun hilang kawalan lalu terjatuh di laluan bertentangan.

"Ketika itu terdapat sebuah lori dalam perjalanan dari arah Sepang, Selangor menghala ke Pantai gagal mengelak dan melanggar motosikal mangsa" katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, kemalangan itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 46 tahun tidak cedera.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban bagi tujuan bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.