X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Peniaga kedai makan lega PM umum henti eksport ayam

Peniaga nasi ayam
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Rata-rata peniaga kedai makanan di bandar ini, yang menu utamanya berasaskan ayam tetap meneruskan perniagaan walaupun bekalan agak sukar diperoleh dan harga borong ayam sedikit meningkat kebelakangan ini.

Begitupun kebanyakan peniaga menarik nafas lega apabila kerajaan akan menghentikan sementara eksport ayam bermula 1 Jun ini dan berharap masalah kekurangan bekalan ayam di pasaran dapat ditangani segera.

Pemilik Pak Awi Nasi Ayam, Muhammad Adam Zawawi, 28, berkata, harga ayam secara borong kini mencecah lebih RM10 sekilogram, namun dia tetap meneruskan operasi restorannya walaupun keuntungan diperoleh sangat minimum.

"Nak naikkan harga nasi ayam pula, saya tak sampai hati kerana akan bertambah beban pengguna," katanya yang membeli ayam secara borong dari dua pembekal untuk memastikan operasi perniagaannya dibuka seperti biasa.

Bagi pemilik Mek Jang Cafe, Nor Harizan Hassan, 44, beliau kini terpaksa mengurangkan jualan 'nasi ganja' yang berasaskan ayam di kedai makannya itu kerana hanya mampu memperoleh sekitar 15 hingga 20 ekor ayam sehari berbanding hari biasa antara 30 hingga 40 ekor ayam.

"Bila ayam tidak mencukupi, saya tak boleh jual ‘nasi ganja’ dalam jumlah yang banyak seperti biasa dan memang perniagaan terjejas ketika ini, tapi saya berharap isu berkaitan ayam ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati bekalan ayam di pasar raya masih boleh diperoleh dengan harga normal, bagaimanapun peruncit menjual ayam dengan harga sedikit tinggi kerana mendakwa harga belian secara borong telah meningkat.

Isnin lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam untuk kegunaan domestik kembali stabil.

Dalam kenyataannya, Perdana Menteri berkata, keputusan itu merupakan antara beberapa langkah jangka pendek yang dicapai mesyuarat Kabinet terhadap isu bekalan dan harga ayam. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!