X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Pulau Pinang wajar terima peruntukan pembangunan lebih tinggi

Ahmad Fuzi memeriksa perbarisan ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN Pulau Pinang ke-14 pada Jumaat.
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri dan Persekutuan perlu bekerjasama dalam memastikan projek pembangunan dan infrastruktur yang dirancang dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan.

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berkata, kerjasama yang erat antara kedua-dua pihak amat penting supaya rakyat dapat menikmati manfaatnya.

Menurutnya, di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) 2022, sebanyak 189 projek di Pulau Pinang disenaraikan merangkumi 163 projek fizikal dan 26 projek bukan fizikal, dengan peruntukan Persekutuan yang diluluskan berjumlah RM997 juta bersamaan 1.3 peratus peruntukan pembangunan negara.

"Dengan mengambil kira sumbangan Pulau Pinang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara serta prestasi pelaburan negeri baru-baru ini, maka wajar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peruntukan pembangunan yang lebih tinggi untuk Pulau Pinang.

"Terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang menyalurkan peruntukan sebanyak RM20 juta melalui Kementerian Kewangan pada tahun lalu untuk pelaksanaan projek berskala kecil di bawah Skim Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).

"Melalui 12 agensi pelaksana, inisiatif ini telah berjaya melaksanakan 315 projek berskala kecil di bawah Skim Pemerkasa," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ahmad Fuzi berkata, RM316.13 juta yang diluluskan dalam bajet pembangunan Pulau Pinang bagi tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM22.03 juta atau 7.5 peratus, berbanding dengan unjuran hasil kerajaan negeri (tahun sama) yang dianggarkan berjumlah RM485.42 juta.

"Kerajaan negeri telah mengambil langkah drastik untuk meningkatkan hasil negeri, melalui aktiviti pelaburan, kutipan tunggakan hasil secara efektif, dan pewartaan deposit yang tidak dituntut.

"Walaupun begitu, langkah-langkah di luar kotak serta di luar kebiasaan dengan memikirkan idea-idea kreatif baharu untuk meningkatkan hasil negeri perlu dicari. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berperanan untuk menyumbang idea dan saranan dalam perkara-perkara yang boleh membantu kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, Ahmad Fauzi berkata, Pulau Pinang tidak boleh terus dibelenggu dengan trend pandemik Covid-19 dan perlu membuat perancangan jauh ke hadapan.

Jelasnya, pelan Tindakan Pemulihan Pelancongan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dapat mengurangkan kesan pandemik melalui beberapa strategi dengan menjenamakan Pulau Pinang sebagai destinasi yang selamat.

"Pelan tindakan ini telah dirangka untuk membantu penggiat industri pelancongan agar mereka tidak ketinggalan.

"Bantuan jangka masa pendek dalam bentuk kewangan seperti bayaran wang tunai dan pinjaman tanpa faedah sebagai langkah persediaan mereka untuk kelangsungan industri ini.

"Bagi jangka masa panjang pula, kerajaan negeri akan memberikan lebih tumpuan terhadap peningkatan permintaan perjalanan ke Pulau Pinang dengan meneruskan kempen pemasaran ke luar negeri dan antarabangsa bagi memulihkan keadaan seperti sedia kala," katanya.

Menurutnya, melalui langkah ini, ia dapat mengurangkan kerugian, mendorong permintaan yang lebih tinggi, meningkatkan ekonomi serta memastikan ketahanan industri pelancongan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!