Pengarah syarikat tidak mengaku ubah wang haram RM1.33 juta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang pengarah syarikat jual beli sarung tangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas 14 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah RM1.33 juta dua tahun lalu.

Mazne Che Mohd Amin, 32, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Helina Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memindahkan RM1.33 juta daripada akaun RHB Bank Berhad milik syarikat tertuduh ke bank lain menerusi 14 transaksi iaitu dua akaun tertuduh, sembilan bank syarikat lain dan tiga milik tiga individu lain.

Kesalahan berlaku di RHB Bank Berhad cawangan The Trillium Lake Fields, Sungai Besi di sini pada 9 September hingga 17 Oktober 2020.

Dia sebagai pengarah syarikat pada masa kesalahan itu dilakukan adalah didakwa telah melakukan kesalahan pengubahan wang haram di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) dan dibaca bersama perenggan 87(1)(a) Akta yang sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Zalizan Lazarous mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan dan memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Luqman Mazlan yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah.

"Mazne mempunyai satu kes lain melibatkan kes menipu dan dia sentiasa hadir pada prosiding kes mahkamah mengikut tarikh yang ditetapkan," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Helina membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

"Tertuduh juga dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis terdekat dan menyerahkan pasport kepada mahkamah," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Jun depan untuk sebutan semula kes.