Gerakan cadang lebarkan Jambatan Pulau Pinang atasi kesesakan

Pelebaran jambatan dengan membina lorong baharu di kedua-dua belah jambatan, dan tanjakan susur turut dibina untuk menghubungkan laluan baharu itu dengan Mak Mandin dan Juru. (Gambar kecil: Tong Keong)
Pelebaran jambatan dengan membina lorong baharu di kedua-dua belah jambatan, dan tanjakan susur turut dibina untuk menghubungkan laluan baharu itu dengan Mak Mandin dan Juru. (Gambar kecil: Tong Keong)
A
A
A

GEORGETOWN - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang mencadangkan supaya laluan di Jambatan Pulau Pinang dilebarkan dengan penambahan satu laluan di kedua-dua belah jambatan itu dalam usaha menangani masalah kesesakan jalan raya.

Cadangan itu melibatkan satu laluan susur kenderaan dari bahagian pulau ke Mak Mandin di Seberang Perai Utara (SPU) dan susur menyambungkan Autocity, Juru ke bahagian pulau.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, tanggungjawab itu harus dipikul kerajaan Pulau Pinang dalam memastikan keselesaan rakyat di negeri ini apabila berlaku kemalangan di atas jambatan tersebut.

Menurutnya, masalah kesesakan teruk di Jambatan Pulau Pinang terutamanya apabila berlaku kemalangan bukan perkara baru malah ia sudah berlarutan sejak berpuluh tahun lalu.

"Kerajaan negeri sepatutnya mengambil tanggungjawab ini demi memastikan rakyat tidak terbeban dengan masalah kesesakan jalan raya. Banyak pihak sebelum ini, mencadangkan agar laluan di Jambatan Pulau Pinang dilebarkan.

"Gerakan juga mencadangkan perkara sama yang mana kerajaan negeri harus menubuhkan satu ahli jawatankuasa bebas (tanpa mengira parti) serta terdiri daripada pakar-pakar dari bidang berkaitan untuk meneliti cadangan melebarkan atau membina tanjakan susur di kedua-dua belah jambatan itu untuk menyambungkan bahagian pulau dan Seberang Perai," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tong Keong berkata, pihak berkuasa harus bertindak segera untuk mengkaji langkah penyelesaian bagi masalah kesesakan terutamanya pada waktu puncak.

"Kerja pelebaran Jambatan Pulau Pinang pernah dilaksanakan ketika Gerakan memerintah negeri ini dahulu. Kerajaan negeri tidak boleh bertangguh lagi kerana kesesakan yang serius boleh memberi impak kepada pembangunan industri pelancongan negeri.

"Kerajaan negeri jangan berdolak dalih lagi, jika benar mereka mengutamakan kepentingan pengguna jalan raya, masalah kesesakan di Jambatan Pulau Pinang sepatutnya telah diselesaikan sejak dahulu lagi. Malangnya, walaupun sudah 14 tahun Pakatan Harapan (PH) memerintah Pulau Pinang, masalah ini tetap sama, tiada penyelesaian," katanya.

Selasa lalu, ribuan pengguna Jambatan Pulau Pinang terperangkap dalam kesesakan susulan operasi membersihkan kawasan kemalangan melibatkan sebuah lori membawa serai dan treler yang mengakibatkan dua orang maut.

Kesesakan bermula dari susur keluar Plaza Tol Sungai Dua menghala susur masuk Jambatan Pulau Pinang iaitu kira-kira 30 kilometer.