'Tepung gandum jenama tertentu sukar diperoleh di pasaran'

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai serbaneka di sekitar Shah Alam mendapati premis berkenaan tidak mempunyai stok tepung gandum jenama tertentu.Gambar kecil: Tepung gandum jenama tertentu yang didakwa sukar diperoleh di pasaran sejak seminggu lalu.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai serbaneka di sekitar Shah Alam mendapati premis berkenaan tidak mempunyai stok tepung gandum jenama tertentu.Gambar kecil: Tepung gandum jenama tertentu yang didakwa sukar diperoleh di pasaran sejak seminggu lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Isu kekurangan tepung gandum masih belum menemui jalan penyelesaian apabila bekalan itu didakwa masih sukar didapati kerana stok yang terhad.

Pengurus sebuah restoran di Seksyen 16 di sini, Ibrahim Arif, 48, berkata, bekalan tepung gandum khususnya jenama tertentu sukar untuk diperoleh sejak minggu lalu.

"Ada bekalan tetapi tidak dapat banyak, kalau beli di kedai runcit mereka hanya boleh jual satu guni, kalau mahu lebih mereka kata tiada stok.

"Tepung gandum kami guna harganya RM68 seguni (25 kilogram) dan tepung jenis ini susah hendak dapat kerana jadi pilihan untuk buat roti canai," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai serbaneka di sekitar bandar raya ini mendapati tiada bekalan stok tepung gandum jenama tersebut.

Pekerja sebuah kedai serbaneka yang enggan dikenali berkata, bekalan tepung gandum masih ada namun jenama tertentu sudah tidak diterima daripada pembekal sejak seminggu lalu.

"Ada ramai pelanggan tanya, namun kita maklumkan tiada bekalan baharu diterima sejak seminggu lalu," katanya.

Sementara itu, pengguna, Latifah Omar, 46, berkata, dia tidak berdepan dengan masalah untuk mendapat bekalan memandangkan menggunakan tepung gandum dalam skala yang kecil.

"Setakat ini saya tidak berdepan masalah cuma ada juga rakan-rakan yang menjual kuih maklumkan sukar dapatkan tepung gandum berkualiti terutama dalam tempoh seminggu dua ini," katanya.