X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Profesor Amerika Syarikat pilih Malaysia untuk peluk Islam

John Nash melakukan ucapan syahadah yang dikendalikan Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Ummah Takaful (MyIKUT), Zolkifly Md Lazim di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah Yuyun, Bandar Perda, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah pada Isnin.
A
A

GEORGETOWN – Tertarik dengan isi kandungan al-Quran membuatkan seorang profesor dalam bidang ekonomi, John Nash Houchen, 56, dari Kentucky, Amerika Syarikat memilih Islam sebagai jalan hidup.

Beliau yang pernah mengajar di Universiti Winconsin telah mengkaji mengenai agama Islam sejak sekian lama terutama daripada rakan-rakan rakyat Malaysia yang pernah menuntut di universiti berkenaan.

Bermula dari situ, John Nash pertama kali berkunjung ke Malaysia pada tahun 2019 untuk mengenali agama Islam selain budaya penduduk di negara ini, sebelum pulang semula ke Amerika Syarikat.

Hasratnya untuk kembali semula ke Malaysia tertangguh lebih dua tahun berikutan penularan Covid-19.

“Apabila sempadan negara dibuka, saya terus ambil kesempatan untuk kembali semula ke Malaysia.

“Semasa dalam penerbangan ke Malaysia, saya sempat mendengar alunan bacaan al-Quran berserta terjemahannya.Hati saya semakin tertarik dengan isi kandungan al-Quran itu.

“Sebaik sahaja menjejakkan kaki di Malaysia, saya nekad dan yakin untuk memeluk Islam dengan menghubungi kenalan rakyat Malaysia yang ada untuk membantu saya,” katanya.

John Nash berkata demikian selepas mengucapkan syahadah yang secara sah menjadikan beliau seorang Muslim.

Majlis ucapan syahadah itu dikendalikan oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Ummah Takaful (MyIKUT), Zolkifly Md Lazim di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah Yuyun, Bandar Perda, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah pada Isnin.

John Nash mengakui sebaik selesai mengucapkan syahadah, hatinya kini rasa lebih tenang dan tenteram.

“Perasaan tenang dan tenteram ini tidak pernah ada, ia datang tiba-tiba. Saya rasa lega,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai keputusannya memeluk Islam, John Nash berkata, antara faktor beliau memilih Islam ialah kerana keikhlasan penganutnya termasuk apabila berhadapan dengan orang bukan Islam.

“Sejak mengenali ramai penuntut beragama di Amerika Syarikat termasuk dari Malaysia, saya dapati mereka ini ikhlas dalam kehidupan termasuk ketika membantu penganut agama lain dan sebagainya.

“Dari situlah minat saya untuk mengkaji agama Islam bermula,” katanya.

John Nash berkata, beliau kini berhasrat untuk terus menetap dan menjalani kehidupannya di Malaysia selepas baru sahaja bersara sebagai tenaga pengajar di universiti di Amerika Syarikat.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua termasuk MyIKUT. Selain tenang, gembira, teruja, saya kini merasakan ada kekuatan dalam diri untuk terus menjalani kehidupan yang akan datang,” katanya.

Sementara itu Zolkifly berkata, pihaknya menerima permintaan daripada penduduk untuk membantu John Nash memeluk Islam.

“MyIKUT akan sentiasa membantu golongan mualaf. Mereka yang telah peluk Islam kita akan pantau dan jika ada keperluan seperti bantuan, nasihat dan sebagainya, MyIKUT sentiasa ringan tulang,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!