Semoga ayam tidak hilang lagi

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

PELBAGAI barang keperluan dilaporkan naik sejak akhir ini, baik barang basah atau siap masak semua mengalami nasib sama.

Kesan daripada situasi ini, paling ketara ayam semakin hilang di pasaran yang mana pengusaha melaporkan ada peniaga terpaksa menutup gerai jualannya kerana kesukaran mendapatkan bekalan ayam segar.

Malahan, beberapa restoran makan segera juga dilaporkan tidak dapat menjual set berasaskan ayam.

Ayam menjadi rebutan, pasar raya juga telah menghadkan pembeliannya, seperti minyak masak subsidi.

Kaedah ini juga akan membuatkan lebih ramai tidak berpeluang makan nasi berlauk ayam.

Cadangan mengurangkan makan atau kebergantungan kepada ayam mungkin membuahkan hasil bagi mengembalikan stok makanan harian rakyat Malaysia ini.

Dulu mungkin ayam makanan untuk mereka yang berkemampuan, hidangan orang T20 dan M40 tetapi kini adalah pilihan kepada semua rakyat Malaysia waima B40, cuma mungkin kekerapannya berkurang mengikut kemampuan sesebuah keluarga, tetapi ia bukan lagi kemampuan orang atasan.

Mungkin boleh cuba dulu, bukan tidak pernah ketika krisis ekonomi pada 1998 dan 1999, rakyat Malaysia mula berkebun di laman-laman rumah, ada juga yang menternak ayam sendiri.

Ia sedikit sebanyak membantu usaha kerajaan mengurangkan permintaan, sekali gus akan menurunkan harga apabila permintaan berkurang kerana semua boleh petik di belakang rumah.

Dalam sedang berjaga-jaga ini, ada laporan mengatakan krisis makanan akan lebih meruncing apabila barangan keperluan dijangka meningkat sehingga 60 peratus, bagaimanapun dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia adalah ekoran fenomena dunia termasuklah peperangan Rusia dan Ukraine.

Tetapi rakyat diharap jangan terlalu cepat menggelabah sehingga melakukan pembelian panik.

Lesen import (AP) makanan dilaporkan telah dihapuskan, semua boleh bawa masuk makanan untuk pasaran tempatan termasuk ayam.

Semoga ayam tidak hilang lagi!