X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Sukan SEA: Sasaran dicapai, namun kurang...

Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang ketika perarakan masuk kontinjen negara diketuai Nur Azmi semasa upacara pembukaan rasmi temasya sukan Asia Tenggara tersebut di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, 12 Mei lalu. - Foto Bernama
A
A

MALAYSIA berjaya mengatasi sasaran 36 pingat emas, 35 perak dan 75 gangsa dengan merangkul 39-45-90 pingat, sekali gus meraih tempat keenam keseluruhan selepas 16 hari saingan Sukan SEA Hanoi berlangsung sejak 6 Mei lalu.

Syabas kepada semua atlet dan jurulatih yang berusaha keras dan berjuang habis-habisan untuk mencapai sasaran tersebut di bawah pengurusan Ketua Kontinjen Datuk Nur Azmi Ahmad, selepas terpaksa mengharungi pelbagai cabaran termasuk Covid-19.

Tahniah kepada persatuan sukan kebangsaan (NSA), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta semua pihak terlibat dalam perancangan dan persediaan atlet ke temasya dwitahunan itu, yang diadakan buat kali pertama sejak pandemik ‘menghantui’ arena sukan bermula Mac 2020.

Pujian harus diberikan kepada sukan berjaya menepati sasaran seperti terjun yang meraih lapan emas, tiga perak dan satu gangsa; olahraga (5-3-8); karate (4-0-6); berbasikal (2-3-3); gimnastik artistik (2-1-2); gimrama (2-1-0); golf (2-1-1); menembak (2-2-0); wushu (2-1-2); badminton (1-2-1) dan taekwondo (1-1-3).

Satu rekod temasya berjaya dicatat menerusi Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin dalam acara 10m air pistol wanita, manakala lapan rekod kebangsaan berjaya dileburkan menerusi olahraga (lempar cakera wanita, 4x100m lelaki, hepthatlon); renang (1,500m gaya bebas wanita, 50m gaya bebas lelaki, 4X200m gaya bebas lelaki); dan angkat berat (50kg dan 73kg lelaki).

Namun, pencapaian keseluruhan kontinjen Malaysia bukan sesuatu boleh diraikan dengan megah sekiranya diteliti secara mendalam, dan dibandingkan dengan pencapaian negara-negara lain di rantau ini.

Vietnam seperti dijangka muncul juara keseluruhan dengan merangkul rekod 205-125-116 pingat iaitu 39.05 peratus daripada 525 emas ditawarkan, diikuti Thailand 15.54 peratus (92-103-136), Indonesia 13.14 peratus (69-91-81), Filipina 9.90 peratus (52-70-104) dan Singapura 8.95 peratus (47-46-73) untuk melengkapkan kedudukan lima terbaik.

Kejayaan 39 emas dimenangi Malaysia bersamaan dengan 7.43 peratus emas dipertandingkan, memberikan indikasi Malaysia bukanlah kuasa besar sukan di Asia Tenggara, walaupun jika ditolak tepi sukan tradisional seperti vovinam, kurash dan kick boxing.

Sukan teras seperti renang yang hanya meraih satu dari 40 pingat emas dipertandingkan, olahraga (5 daripada 47 emas ditawarkan), menembak (2/22), taekwondo (1/19), memanah (2/10), kanu (0-19), lawan pedang (0/12) dan angkat berat (0-14), sepatutnya menyumbangkan lebih banyak peratusan emas yang ditawarkan.

Pencapaian di Hanoi ini, kali kedua Malaysia tidak berada di kedudukan lima terbaik dalam sejarah penganjuran temasya tersebut bermula 1959, yang ketika itu dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP), selepas kali pertama pada edisi 1983 di Singapura.

Hanya 11 sukan capai sasaran

Ketika merumuskan pencapaian kontinjen negara pada temasya kali ini, Nur Azmi berkata, hanya 11 sukan menepati sasaran, manakala enam sukan tidak berjaya daripada 36 emas disasarkan.

“Renang yang sepatutnya dapat dua emas hanya mendapat satu, memanah (2/3), silat (2/3), petanque (0/2), e-sukan (0/1) dan boling (0/1). Kalau nak kira, sepatutnya sasaran telah dicapai pada Isnin lepas (16 Mei).

“Tetapi apabila sasaran itu gagal dicapai, kita terpaksa tampung balik menggunakan emas bonus dimenangi daripada lapan sukan termasuk golf, karate, wushu, taekwondo, menembak, berbasikal dan gimnastik.

“Namun, tahniah kepada semua atlet yang mengharungi pelbagai halangan seperti Covid-19, dan ibu bapa yang benarkan mereka berlatih dan bertanding ketika Ramadan dan hari lebaran,” katanya.

Di sebalik kekecewaan pencapaian sederhana kali ini, selain kegagalan beberapa atlet senior dan berpengalaman menaiki podium, pemilihan atlet muda dan kali pertama menyertai Sukan SEA memberi isyarat positif dan masa depan cerah kepada kemampuan Malaysia, di temasya sukan akan datang.

Daripada 584 atlet mewakili negara pada kali ini, 367 adalah yang pertama kali menyertai Sukan SEA, dengan 39 peratus (142 atlet) berjaya menyumbangkan pingat buat negara dengan 15 emas, 21 perak dan 44 gangsa.

Daripada 119 atlet muda berumur 21 tahun ke bawah, 68 peratus (81 atlet) berjaya menaiki podium dengan memenangi sembilan emas, 17 perak dan 34 gangsa, manakala 51 peratus daripada 225 wanita pula menyumbangkan 14 emas, 16 perak dan 34 gangsa.

Prestasi atlet muda wajar diberi pujian

Dalam pada itu, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, prestasi atlet muda seperti perenang Khiew Hoe Yean, 21, (1 emas, 3 perak, 1 gangsa); atlet karate H. Sureeya Sankar, 20, (2 emas); dan atlet lawan pedang berusia 15 tahun Kamalanathan Kaerlan Vinod (1 perak), harus diberi pujian.

“Atlet kali pertama beraksi seperti atlet lompat bergalah wanita Nor Sarah Adi (emas) dan atlet terjun Ong Ker Ying (1 emas, 1 perak), turut menyerlah. Dengan edisi seterusnya bakal berlangsung dalam tempoh kurang setahun di Kemboja, kita akan memulakan kerja-kerja persiapan sebaik pulang ke tanah air.

“Atlet menang pingat di Vietnam akan diberi pilihan utama memulakan program latihan sebaik sahaja kita pulang. Kita juga akan mempertingkatkan usaha memperkukuh program pelapis di peringkat negeri, tingkatkan kualiti Sukan Malaysia (Sukma) dan kaji balik aspek pembangunan 19 jenis sukan teras,” katanya.

KBS arah MSN, NSA perkasa sukan-sukan teras

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengarahkan MSN dan semua NSA, untuk menilai semula penglibatan atlet senior dan atlet yang gagal menghasilkan keputusan memuaskan pada temasya kali ini, selain memperkasa lagi sukan-sukan teras.

“Kalau kita terpaksa ambil keputusan sukar menggugurkan mereka, itu terpaksa kita lakukan kerana apa wajar dilakukan selepas ini adalah menyalurkan peruntukan berdasarkan kepada merit pencapaian, bukan lagi berdasarkan reputasi silam yang bukan lagi menjadi gambaran kekuatan terkini sesuatu sukan.

“Jangan leka dengan kemampuan melepasi sasaran ditetapkan pada kali ini, edisi ke-32 di Kemboja akan berlangsung kurang dari setahun, segala persiapan mengejar kegemilangan harus bermula sekarang. Jadikan kebangkitan ramai atlet muda yang membuktikan kemampuan wibawa kali ini sebagai platform untuk ‘menjelmakan’ mereka,” katanya.

Ahmad Faizal juga tidak mahu mana-mana pihak mengatakan beliau menuding jari kepada atlet atau NSA, tetapi ia perlu dilihat sebagai cara untuk meningkatkan prestasi kontinjen negara pada temasya sukan akan datang.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian semua atlet, tetapi apa yang kita nak lakukan adalah untuk menilai diri kita untuk jadi lebih baik, tiada sesiapa menyertai temasya untuk berseronok duduk tempat corot,” jelasnya. Acara penutup temasya Sukan SEA Hanoi berlangsung malam ini. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!