"Lepas ni tolong beritahu orang kampung..."

Johari menunjukkan peta laluan Gopeng Ultra Trail.
Johari menunjukkan peta laluan Gopeng Ultra Trail.
A
A
A

GOPENG - Penduduk kampung berharap sebarang penganjuran aktiviti rekreasi di Gopeng terutama melibatkan laluan sungai dan bukit dimaklumkan terlebih dahulu kepada komuniti setempat.

Penduduk, Johari Lukar, 64, berkata, makluman itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak risiko bahaya sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

"Eloklah kalau bekerjasama dengan orang kampung sebab mereka lebih arif dengan jalan dan laluan di situ. Kalau tidak nanti jadilah kes seperti hilang atau sesat," katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau yang berpengalaman dalam aktiviti pendakian dan rekreasi turut serta dalam misi pencarian Mohammad Ashraf Hassan, 29, peserta Gopeng Ultra Trail yang dilaporkan hilang ketika menyertai larian itu, Sabtu lalu.

Menurutnya, laluan check point 6 hingga 10 sepanjang 10km iaitu lokasi dipercayai mangsa hilang merupakan kawasan kebun kelapa sawit, hutan kecil diikuti tebing Sungai Kampar dan Bukit Batu Putih.

"Aktiviti macam ni biasa dibuat di sini. Kalau ada orang sesat atau hilang di puncak bukit pun mesti dapat jumpa dalam hari yang sama, tak pernah lagi sampai berhari-hari seperti ini," katanya.

Dia bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kehilangan Mohammad Ashraf ada kaitan dengan unsur mistik.

"Orang kampung tahu di atas itu 'kampung mereka', ada yang pernah nampak sekumpulan lelaki dan wanita naik ke bukit bawa obor.

Artikel Berkaitan:

"Apa pun sebagai penduduk kampung kita bantu sehabis baik menggunakan pelbagai cara sampai jumpa mangsa," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari keempat, hari ini masih belum menemui sebarang petunjuk akan kehilangan mangsa.

Selain bomba, operasi mencari turut melibatkan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela, Pasukan Gerakan Am (PGA), Rejimen Renjer DiRaja (singkatan RRD), penduduk kampung dan kumpulan pendaki.

Juruteknologi makmal perubatan di Pejabat Kesihatan Muar itu disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas bagi kategori 25km.