X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

'Tiada satu sen pun wang pembayar cukai dalam Yayasan Akalbudi'

Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, untuk prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi beliau. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa tiada satu sen pun wang kerajaan atau pembayar cukai dalam dana Yayasan Akalbudi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika prosiding bela diri bagi kes 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, dana yayasan adalah hasil lebihan pendapatan ketika beliau membabitkan diri dalam sektor korporat.

Menurutnya, lebihan berkenaan dikumpul sebelum beliau menjawat jawatan dalam pentadbiran negara.

"Atas nasihat bapa saya, yang juga seorang mudir, saya salurkan lebihan pendapatan itu kepada orang yang memerlukan.

"Menerusi yayasan yang saya wujudkan sejak tahun 1970-an, saya buat amal jariah, sedekah dan wakaf," katanya.

Untuk rekod, sebelum menjadi menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid pernah mengetuai empat syarikat yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur dan Pengerusi Bank Simpanan Nasional.

Dalam pada itu, ketika membaca kenyataan pembelaannya, Ahmad Zahid berkata tidak pernah bersetuju, beri arahan atau memberi kebenaran kepada saksi pendakwaan ke-90, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly supaya menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk pembayaran bil kad kredit peribadinya.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa tidak mengetahui Mazlina mengguna cop itu bagi pembayaran kad kredit dengan menggunakan cek Yayasan Akalbudi.

Menurutnya, selaku kakitangan bank terlatih, beliau sedar cop tidak boleh digunakan dalam cek.

"Mazlina mengaku cuai dalam menjalankan tugas, sedangkan cop tandatangan saya digunakan untuk menandatangani kad jemputan, kad hari raya atau sijil-sijil penghargaan.

"Jika saya tahu dia guna cop saya pada cek-cek itu, saya tidak akan beri kebenaran kepadanya," katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!