X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Dicekup ketika punggah rokok seludup RM1.1 juta

Rokok seludup bernilai RM1.1 juta termasuk nilai cukai dirampas dalam serbuan di tepi jalan di Bandar Rinching, Semenyih pada Sabtu.
A
A

SEMENYIH - Tindakan sekumpulan lelaki memunggah guni berisi rokok seludup bernilai RM1.1 juta dari dalam sebuah lori di tepi jalan di Bandar Rinching di sini pada Sabtu hanya memakan diri apabila diberkas polis.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, kegiatan itu dikesan sepasukan anggota dari Batalion 4 PGA kira-kira jam 8.30 pagi.

Menurutnya, empat lelaki terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang warga asing telah ditahan berserta rampasan 6,200 karton rokok bernilai RM1.1 juta termasuk nilai cukai.

"Semasa serbuan, suspek terbabit dikesan sedang memunggah rokok terbabit dari dalam lori ke dalam dua buah kereta.

"Dipercayai rokok itu diambil di Klang menggunakan lori terbabit sebelum diedarkan di sekitar Semenyih dan Kajang," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu telah aktif sejak setahun.

Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 34 hingga 47 tahun yang berperanan sebagai pemandu, kelindan serta penerima telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.

Tegasnya, pihaknya menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!