Harimau Muda mahu genggam gangsa

Brad Maloney
Brad Maloney
A
A
A

PEMAIN Harimau Muda teruja untuk mengakhiri kempen Sukan SEA Hanoi 2021 dengan noktah kemenangan apabila melayan seteru tradisi Indonesia dalam perlawanan penentuan pingat gangsa di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi hari ini.

Malah menurut pengendali skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney, para pemain Harimau Muda telah pun melalui proses pemulihan dengan baik kini kembali kepada tahap kecergasan terbaik masing-masing.

“Ya, semua pemain telah sembuh daripada kecederaan walaupun kita berdepan aksi sukar berdepan Vietnam yang memerlukan kekuatan fizikal. Para pemain kini berada pada tahap cergas untuk aksi berdepan Indonesia bagi merebut pingat gangsa Sukan SEA Hanoi 2021.

“Pemain juga telah menerima rawatan dan diberikan perhatian khusus setelah mengharungi aksi getir berdepan tuan rumah, Vietnam di separuh akhir sebelum ini.

“Sejujurnya, saya tidak pernah menyaksikan mana-mana pasukan begitu bermotivasi untuk beraksi bagi memenangi sesuatu untuk negara dan sudah pasti ia tidak ada bezanya untuk aksi esok (Ahad) apabila para pemain sudah cukup bersedia menghasilkan keputusan positif,” katanya.

Perjalanan Harimau Muda di temasya sukan Asia Tenggara untuk pemburuan pingat emas acara bola sepak tidak kesampaian apabila tewas 0-1 kepada Vietnam dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Viet Tri pada Khamis.

Tandukan peledak sensasi, Linh Nguyen Tien pada minit ke-110 membolehkan Naga Emas yang juga merupakan juara edisi Filipina 2019 mara ke perlawanan akhir.

Dalam pada itu, Maloney menyifatkan tonggak Indonesia, Saddil Ramdani merupakan pemain yang harus diberikan perhatian pemain bahagian pertahanan Harimau Muda.

Katanya, pemain berusia 23 tahun yang menyarung jersi Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) merupakan kunci utama kepada setiap asakan skuad Garuda Muda itu dalam saingan separuh akhir dan peringkat peringkat kumpulan sebelum ini.

“Kalau ditanya, saya menganggap Saddil (Ramdani) merupakan pemain yang perlu diberikan perhatian dalam perlawanan ini.

“Biarpun begitu secara keseluruhannya, saya lebih berminat untuk memberikan fokus kepada pemain-pemain kita sendiri dalam memastikan pasukan dapat menghasilkan keputusan positif,” katanya.