Penembak negara kurang menyerlah

No Image Caption
A
A
A

GANDINGAN penembak negara Johnathan Wong-Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin tampil dengan prestasi hambar dalam saingan 10 meter (m) air pistol berpasukan campuran Sukan SEA Hanoi 2021 di Pusat Latihan Sukan Nasional di Hanoi pada Sabtu.

Pasangan negara itu gagal mara ke pentas final untuk sekali lagi cuba mencabar kilauan emas selepas terkandas di pusingan kelayakan dengan hanya mengumpul 557 mata.

Satu lagi gandingan negara Wan Muhamad Syafiq Wan Mustaza-Bibiana Ng turut gagal melangkah ke final selepas mengumpul 559 mata.

Pingat emas dimenangi Thailand menerusi gandingan Chidchanok Hirunphoem-Natphanlert Auapinyakul sementara perak diraih Ye Tun Naung-Chit Soe Nwe dari Myanmar manakala satu lagi wakil Thailand Noppadon Sutiviruch-Tanyaporn Prucksakorn berpuas hati dengan gangsa.

Persembahan kurang memberangsangkan Johnathan-Nurul Syasya itu hadir dalam tempoh tiga hari selepas mereka masing-masing mencipta sensasi meraih emas acara 10m air pistol lelaki dan wanita.

Keputusan pada Sabtu juga meranapkan impian rakyat Malaysia yang mengharapkan kejutan daripada gandingan itu bagi menambah koleksi emas kontinjen negara selepas sasaran keseluruhan 36 emas berjaya dicapai menerusi skuad karate pada Jumaat.

Setakat ini, kem memanah kebangsaan yang menyasarkan membawa pulang satu emas dan empat gangsa telah berjaya mengumpul dua emas dan turut mengutip dua perak menjelang hari terakhir saingan sukan itu esok. - Bernama