Sapura Secured Technologies tinjau pasaran baharu

Mahathir ketika di reruai Sapura Secured Technologies bersempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA'19) yang bermula hari ini hingga 30 Mac di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri & Resort World Langkawi.
A
A

SAPURA Secured Technologies, syarikat terlibat dalam indutsri peralatan elektronik pertahanan, meninjau potensi pasaran ASEAN, Timur tengah dan Afrika Utara bagi memasarkan radio taktikal ketenteraan terbarunya, TRC 5200.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, syarikat itu menyasarkan untuk menjual 1,000 unit setahun radio itu terus kepada para pelanggannya atau melalui rakan kongsi globalnya.

"Alat komunikasi ini mempunyai pemprosesan digital berprestasi tinggi, dilengkapi transmisi digital bersama enkripsi tersedia bagi memastikan kerahsiaan dan komunikasi yang selamat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan radio itu di sini, semalam.

Pelancaran itu disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA'19) yang bermula hari ini hingga 30 Mac di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri & Resort World Langkawi.

Mohd Zarif berkata, radio itu mempunyai rangkaian liputan lebih baik, frekuensi yang lebih luas, membolehkannya menghantar video dan data serta penggunaan kuasa yang lebih rendah berbanding dengan pendahulunya, TRC5102.

TRC5102 adalah radio generasi pertama syarikat itu yang dilancarkan oleh Dr Mahathir pada LIMA 97.

Sementara versi terdahulu radio ketenteraannya dibangunkan dengan kerjasama rakan teknologi global, Zarif berkata Sapura telah menguasai teknologi dan berkeupayaan sepenuhnya dalam mereka bentuk, membangun dan mengeluarkan produknya di peringkat tempatan.

"Kami amat berbangga kerana ia 100 peratus direka bentuk, dibangunkan dan dikeluarkan oleh jurutera dan pakar tempatan kita, dengan hak harta intelek dimiliki Sapura," katanya.

Beliau berkata selain mampu menghasilkan perkakasan bertaraf dunia, syarikat itu mempunyai keupayaan untuk membangunkan perisian kompleks dan menghasilkan enjin bertaraf dunia, menjadikannya teknologi yang sama taraf seperti yang digunakan oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia