Menteri UMNO digalak turun Selangor bantu rakyat: Noh

Noh (kanan) menerima sumbangan cenderahati daripada Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor, Mohd Azwan Mohd Nawawi (depan kiri) pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Puncak Alam 2 pada Sabtu.
Noh (kanan) menerima sumbangan cenderahati daripada Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor, Mohd Azwan Mohd Nawawi (depan kiri) pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Puncak Alam 2 pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - UMNO Selangor amat mengalu-alukan mana-mana menteri kabinet parti itu untuk bersama-sama turun padang bagi membantu rakyat di negeri ini.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, kehadiran Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam beberapa program di Selangor bersesuaian dalam keadaan UMNO selaku pembangkang di negeri ini.

"Ini bukan soal jadi calon atau tidak menjadi calon, sebaliknya kita (menteri) kena turun padang dan cuba membantu meringankan beban rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2 pada Sabtu.

Noh berkata, Tengku Zafrul sewajarnya menyumbang sesuatu dalam pembangunan dan kemajuan rakyat memandangkan beliau anak kelahiran Selangor.

"Lebih-lebih lagi di Selangor selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kita dilanda banjir besar.

"Sekolah juga baru hendak mula setelah ditutup dan kita memerlukan peruntukan bagi membantu kerja-kerja baik pulih dan sebagainya," katanya.