Bekas Naib Presiden MIC, tiga lagi maut kemalangan

Anggota penyelamat mengeluarkan mangsa dari kenderaan di lokasi kejadian.
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Bekas Naib Presiden MIC, Tan Sri S Balakrishnan, 65, bersama tiga individu lain maut dalam kemalangan di Kilometer 33 Lebuhraya Utara Selatan, tengah malam tadi.

Turut maut dalam kemalangan itu Ravi Gopal, 55; Ragu Arunasalama, 47 dan Ramachandran Kanniappan, 51.

Kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan itu berlaku selepas lori kontena dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, empat mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

"Ketika tiba di KM33 Lebuhraya Utara Selatan tiba-tiba sebuah lori hilang kawalan dan melanggar besi tengah pembahagi jalan sehingga patah dan memasuki laluan bertentangan.

"Lori melanggar sebelah kanan MPV yang sedang bergerak di lorong kanan kemudian sebuah kereta gagal mengelak MPV yang berada di tengah besi pembahagi jalan," katanya.

Keempat-empat mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara tiga lagi mangsa iaitu pemandu, penumpang hadapan, seorang penumpang belakang MPV serta pemandu lori dan kereta dilaporkan selamat.

Sementara Ketua Operasi dari Balai Bomba Kulai, Pegawai Bomba Firdaus Juritah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.08 tengah malam tadi.

"Pihak bomba mengeluarkan mangsa dari Vellfire. Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulai dan mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya," katanya.