X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

Ahli Parlimen Labuan mohon lagi batal pertuduhan guna kedudukan

Rozman Isli
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli sekali lagi memohon untuk membatalkan pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak pekerjaan, bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd yang dihadapinya.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman dalam kenyataan media berkata, permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 11 Mei lepas, atas alasan pertuduhan terhadap anak guamnya tiada merit atau asas dari segi fakta mahupun perundangan.

Muhammad Rafique berkata, pada tarikh sama (11 Mei) pihaknya juga memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, untuk dibicarakan.

"Pada pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurshafini Mustafha hari ini, mahkamah menetapkan 26 Mei untuk pengurusan kes bagi permohonan untuk membatalkan pertuduhan, sementara pengurusan kes bagi permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi ditetapkan pada 23 Jun ini,” katanya.

Pada 4 April lepas, Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonan Rozman untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 27, 28 dan 29 Jun, 7 Julai, serta 11 dan 12 Ogos, sebagai tarikh perbicaraan.

Rozman, 57, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!