X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Perhilitan siasat dakwaan harimau berkeliaran di Kemensah

Foto hiasan 123RF. Gambar kecil: Abdul Kadir
A
A

AMPANG - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjalankan siasatan berhubung dakwaan penampakan kelibat seekor harimau liar berkeliaran di sekitar kawasan perumahan di Kemensah Height di sini pada Jumaat.

Dakwaan yang dibuat oleh seorang pengguna WhatsApp itu tular di media sosial mengatakan seorang pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan perumahan tersebut terserempak seekor harimau berdekatan Jalan Tropika, Kemensah 3, Kemensah Height di sini.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya telah menghantar sepasukan anggota ke lokasi yang didakwa untuk menyiasat dakwaan tersebut.

"Sepasukan anggota Perhilitan telah dihantar ke lokasi untuk menjalankan tinjauan. Setakat ini tidak temui sebarang kesan seperti yang dihebohkan," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, pihak polis turut menjalankan siasatan dan tinjauan di sekitar kawasan berkenaan.

"Siasatan awal mendapati, pada Jumaat jam 12.45 tengah malam, penduduk setempat telah dimaklumkan oleh pengawal keselamatan mengatakan telah terserempak seekor harimau.

"Perhilitan Selangor yg sampai ke tempat kejadian telah berusaha menjejak harimau terbabit tetapi tidak berjaya memandangkan maklumat yang diperolehi tidak lengkap.

"Pengawal keselamatan yang didakwa terlihat harimau ini dikatakan seorang warga asing dan merupakan pengawal sementara di kawasan kejiranan terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, setakat ini pengawal keselamatan berkenaan tidak dapat dikesan dan tiada maklumat lanjut diperoleh berkenaan latar belakang warga asing terbabit.

Katanya, pihak polis mempertingkatkan kekerapan rondaan di kawasan berkenaan untuk memastikan keselamatan penduduk setempat terjamin.

"Setakat ini tiada sebarang laporan diterima bersabit insiden ini dan tiada saksi yang tampil untuk memberikan keterangan.

"Pihak Zoo Negara juga telah mengesahkan tiada kes harimau terlepas dari zoo berkenaan," ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!