[VIDEO] Pemandu teksi lawan arus ditahan

Polis
Polis
A
A
A

SERDANG - Padah melawan arus dan membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain, seorang pemandu teksi ditahan dalam kejadian berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Putra Permai di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, teksi yang dipercayai dipandu seorang lelaki warga emas itu tular menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam media sosial.

"Siasatan dijalankan mendapati dalam kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang itu, teksi yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 70 tahun itu telah mengambil tiga penumpang di sebuah kondominium berhadapan AEON Taman Equine.

"Pemandu teksi berkenaan melalui laluan bertentangan tanpa membuat pusingan di Persiaran Pinggiran Putra 2, dan suspek dikesan memandu secara melawan arus sekitar 40 meter seterusnya membelok ke kanan di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, pemandu teksi berkenaan telah dipanggil untuk siasatan lanjut dan saringan urin negatif.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.