Kekurangan populasi lebah jejas pendebungaan hasilkan sumber makanan

Populasi lebah semakin terancam disebabkan perubahan iklim dan status tanah serta penggunaan racun serangga secara berleluasa. Gambar kecil: Ahmad
Populasi lebah semakin terancam disebabkan perubahan iklim dan status tanah serta penggunaan racun serangga secara berleluasa. Gambar kecil: Ahmad
A
A
A

SERDANG - Populasi lebah yang merupakan agen pendebungaan semakin terancam disebabkan perubahan iklim dan status tanah serta penggunaan racun serangga secara berleluasa.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, kekurangan populasi berkenaan akan menjejaskan pendebungaan yang menghasilkan sumber makanan dalam rantaian ekosistem dan menjejaskan kehidupan manusia sejagat.

Menurutnya, antaranya lebah madu, lebah kelulut, lebah tunggal dan lebah dengung merupakan agen pendebungaan yang menyambung rantaian ekosistem alam

“Situasi seluruh dunia sekarang ini menunjukkan penurunan populasi lebah yang signifikan.

“Kadar kepupusan spesies agen pendebungaan seperti lebah sekarang adalah 100 hingga 1,000 kali lebih tinggi daripada biasa akibat kesan aktiviti manusia.

“Perubahan dalam penggunaan tanah dan struktur landskap, amalan pertanian intensif, monokultur dan penggunaan racun perosak menyumbang kepada fragmentasi dan degradasi habitat mereka,” katanya dalam ucapan ketika Majlis Pelancaran dan Sambutan Hari Lebah Sedunia 2022 dengan tema Kelestarian Lebah: Pemangkin Biodiversiti, Pencetus Ekonomi di Auditorium Rashdan Baba Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Tengku Syarif Laksamana Perlis Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail dan Dekan Fakulti Pertanian merangkap Pengarah Sambutan Hari Lebah Sedunia 2022, Profesor Madya Dr Nur Azura Adam.

Majlis itu juga turut menganugerahkan Tokoh Lebah Kebangsaan kepada Allahyarham Profesor Emiritus Datuk Dr Makhdzir Mardan yang diwakilkan oleh anaknya, Arif Makhdzir.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad berkata, perubahan iklim seperti peningkatan suhu, kemarau, banjir, kejadian iklim melampau dan perubahan masa berbunga juga memberi kesan negatif yang boleh menghalang pendebungaan secara efisien.

“Di barat sahaja mereka kehilangan jutaan koloni lebah akibat fenomena gangguan kemusnahan koloni sejak 2007.

“Di Malaysia, kehilangan besar populasi lebah sekitar 1996 hingga 1997 akibat serangan penyakit yang tidak dapat dikawal dengan baik ketika itu.

“Pada 2016, ribuan koloni lebah kelulut yang diternak mati akibat fenomena El Nino,” ujarnya.

Oleh kerana itu, beliau berkata, lebah merupakan agen pendebungaan yang signifikan sumbangannya dalam industri makanan negara.

Katanya, memelihara lebah dan mengurusnya secara efisien dapat memelihara sumber rantaian makanan khusus dalam sektor pertanian.

“Saya juga dimaklumkan bahawa inisiatif MY Bee Savior atau Penyelamat Lebah Malaysia antara usaha pihak Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan kepentingan kelestarian lebah.

“Inisiatif yang ditubuhkan pada 2015 telah diperluaskan aktivitinya bukan sekadar menyelamat lebah dengan memindahkan dari kawasan kediaman tetapi juga memperkenalkan semula lebah di kawasan pertanian yang sudah kehilangan populasi lebah.

“Ini juga termasuk merangka dan merancang aktiviti kempen kesedaran awam dari media sosial ke program setempat,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melihat potensi besar dalam industri lebah ini akan merealisasikan hala tuju kementerian ke arah memperkukuhkan sektor agromakanan negara dan menaiktaraf pendapatan golongan sasar.

“Perkara ini adalah selari dengan Hala Tuju MAFI untuk menjadikan industri lebah sebagai satu sumber pendapatan yang kukuh, mampan serta menguntungkan.

“Malahan industri ini dapat menambah baik ekosistem industri pertanian yang menyokong pemodenan pertanian, pelaburan sektor swasta dan aktiviti pengembangan,” katanya.