Wanita cedera ditendang, disamun gelandangan

Seorang wanita cedera apabila ditendang, dipukul sebelum disamun seorang gelandangan dalam kejadian di bangunan Centre Point, Klang pada Rabu.
Seorang wanita cedera apabila ditendang, dipukul sebelum disamun seorang gelandangan dalam kejadian di bangunan Centre Point, Klang pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Seorang wanita menempuh detik mencemaskan apabila ditendang, dipukul sebelum disamun seorang gelandangan dalam kejadian di bangunan Centre Point di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira jam 12.25 pagi.

"Siasatan dijalankan mendapati, ketika kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa berusia 30-an berjalan kaki seorang diri menuju ke Center Point Klang telah ditendang dari arah belakang oleh seorang lelaki sehingga menyebabkan mangsa terjatuh sebelum disamun.

"Suspek kemudian bertindak agresif dengan memukul mangsa di bahagian muka dan kepala sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, mangsa yang cedera parah kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

"Suspek telah dikenal pasti berdasarkan pengecaman wajah oleh mangsa dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

"Suspek merupakan seorang gelandangan, berbadan kurus, berkulit sawo matang, berambut panjang paras bahu dan dianggarkan berumur 40-an," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut berkaitan kejadian sedang dijalankan.

"Kertas siasatan dijalankan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat tepat berkaitan suspek boleh berhubung dengan balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat," katanya.