Gejala buli siber juga ancam murid sekolah

Tindakan buli siber menyebabkan mangsa hilang keyakinan diri. - Foto 123RF
Tindakan buli siber menyebabkan mangsa hilang keyakinan diri. - Foto 123RF
A
A
A

TIDAK sekadar buli secara fizikal, murid-murid sekolah di peringkat rendah dan menengah turut berdepan buli di alam maya apabila ramai dalam kalangan mereka kini mempunyai akaun media sosial.

Generasi celik teknologi ini cenderung berkongsi aktiviti harian mereka di beberapa aplikasi seperti TikTok, Instagram, Facebook, Twitter dan YouTube dengan memuat naik gambar serta video peribadi.

Mungkin atas faktor belum mencapai tahap kematangan berfikir, mereka beranggapan semua perkara boleh dikongsi di jaringan sosial itu, bahkan begitu cepat memberikan komen mengenai gambar dan video orang lain.

Situasi itu sebenarnya mendedahkan mereka kepada perbuatan membuli dan dibuli sama ada secara terbuka di ruangan komen atau penghantaran mesej personal dengan kata-kata seperti sindiran, jenaka lucah, menghina bentuk badan dan rupa serta gangguan seksual.

Malah, ada yang menyamar dengan membuka akaun palsu di media sosial bagi tujuan tersebut.

Tindakan buli siber menyebabkan mangsa hilang keyakinan diri. Ada antara mereka memendam rasa sehingga mengganggu emosi serta tumpuan terhadap pelajaran.

Ada juga yang takut memberitahu ibu bapa atau guru kerana bimbang disekat daripada menggunakan telefon bimbit.

Meskipun tiada kecederaan fizikal, tetapi gejala buli siber perlu ditangani dengan lebih serius bagi mengelak budaya tidak sihat ini diamalkan ketika di universiti dan alam pekerjaan.

Penyelidik mengenai buli siber belia yang juga pensyarah sambilan di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC), Jessie Yong berkata, kajian menunjukkan pelaku buli siber mengalami kadar kesunyian tinggi.

“Ini disebabkan kekurangan kasih sayang ahli keluarga dan masyarakat di sekeliling mereka. Membuli dalam talian adalah usaha mereka untuk meraih perhatian orang lain,” katanya.

Berdasarkan Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Malaysia berada pada kedudukan kedua di Asia pada 2020 bagi perbuatan buli siber dalam kalangan belia.

Ini menunjukkan buli siber menjadi masalah semakin ketara dalam negara ini.