X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Wajar perhalusi cadangan larang kenderaan berat lalu Terowong Menora

Cadangan untuk melarang kenderaan berat melalui Terowong Menora, Kuala Kangsar wajar diperhalusi. Gambar kecil: Mutalib
A
A

IPOH - Cadangan untuk melarang kenderaan berat melalui Terowong Menora, Kuala Kangsar wajar diperhalusi bagi mengurangkan kejadian kemalangan di kawasan tersebut.

Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Perak, Mutalib Uthman berkata, kerajaan negeri Perak tidak boleh hanya menanti jalan pintas yang dicadangkan itu siap bagi mengatasi kes kemalangan membabitkan kenderaan berat di laluan sedia ada.

Menurutnya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mesti memandang serius kekerapan kemalangan yang berlaku di kawasan tersebut dengan mencari jalan penyelesaian segera.

"Sebagai sebuah kerajaan negeri, menteri besar perlulah memandang isu kemalangan di kawasan tersebut secara serius dan berusaha untuk membantu mengurangkan kecelakaan di kawasan terbabit. Mungkin usaha seperti meminta kenderaan berat untuk tidak melalui Terowong Menora perlu difikirkan secara teliti.

"Setidak-tidaknya kerajaan negeri boleh memasukkan cadangan pembinaan jalan alternatif tersebut dalam bajet kerajaan negeri bersama bajet kerajaan persekutuan," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Mutalib berkata, pihaknya meminta penjelasan kerajaan negeri mengenai usaha yang akan dilakukan bagi menangani masalah laluan alternatif sekiranya usaha mencari pembiaya daripada pihak swasta berlarutan.

Katanya, selain menunggu usaha pihak swasta berkenaan, kerajaan negeri perlu tampil dengan inisiatif lain bagi mengurangkan angka korban berhampiran Terowong Menora berkenaan.

Saarani pada 16 Mei lalu mengumumkan terdapat cadangan pembinaan jalan pintas dari Gopeng ke Kuala Kangsar yang akan mengurangkan kemalangan maut berhampiran Terowong Menora, Kuala Kangsar.

Susulan itu, kerajaan negeri dan persekutuan sudah pun memberikan kelulusan terhadap pembinaan jalan baharu itu dengan jarak sejauh 64 kilometer (km).

Bagaimanapun pembinaannya hanya akan dilakukan selepas projek yang akan dilaksanakan pihak swasta itu mendapat pembiayaan kerana ia tidak menggunakan dana kerajaan.

Persatuan Pengguna Pengangkutan Jalan Perak pada Selasa menggesa kerajaan menetapkan larangan kepada kenderaan berat melalui Terowong Menora, Kuala Kangsar bagi mengelak kemalangan membabitkan kenderaan tersebut terus berlaku.

Pengerusinya, Mustafar Rahadi berkata, larangan tersebut dilihat wajar memandangkan kebanyakan kejadian kemalangan berlaku disebabkan masalah teknikal seperti brek tidak berfungsi, muatan terlalu berat dan sebagainya.

Pada 12 Mei lalu, lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) rentung selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora.

Mangsa yang maut adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, (pemandu kereta), Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, (penumpang hadapan), Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!