Larang kenderaan berat lalu Terowong Menora

Persatuan Pengguna Pengangkutan Jalan Perak mencadangkan kerajaan melarang kenderaan berat melalui Terowong Menora, Kuala Kangsar bagi mengelak kemalangan. Gambar kecil: Mustafar
Persatuan Pengguna Pengangkutan Jalan Perak mencadangkan kerajaan melarang kenderaan berat melalui Terowong Menora, Kuala Kangsar bagi mengelak kemalangan. Gambar kecil: Mustafar
A
A
A

IPOH - Persatuan Pengguna Pengangkutan Jalan Perak menggesa kerajaan menetapkan larangan kepada kenderaan berat melalui Terowong Menora, Kuala Kangsar bagi mengelak kemalangan membabitkan kenderaan tersebut terus berlaku.

Pengerusinya, Mustafar Rahadi berkata, larangan tersebut dilihat wajar memandangkan kebanyakan kejadian kemalangan berlaku disebabkan masalah teknikal seperti brek tidak berfungsi, muatan terlalu berat dan sebagainya.

Menurut beliau, tempoh percubaan boleh dilakukan selama setahun bagi melihat keberkesanan cadangan tersebut.

"Kita melihat perkara ini amat serius. Bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak tetapi cadangan ini sebagai langkah pencegahan untuk mengurangkan korban di laluan tersebut.

"Laluan berbukit dan curam di Terowong Menora itu amat berbahaya untuk kenderaan berat. Sebagai alternatif, kenderaan berat boleh melalui jalan persekutuan dan negeri dari Ipoh ke Kuala Kangsar tanpa melalui terowong tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

Mustafar berkata, larangan tersebut mungkin bersifat sementara memandangkan terdapat cadangan untuk membina laluan baharu dari Gopeng ke Kuala Kangsar sebagai alternatif laluan sedia ada.

Tambahnya, agensi penguatkuasaan boleh diletakkan di jalan persekutuan dari Jelapang ke Kuala Kangsar untuk memastikan kelancaran dan keberkesanan sepanjang tempoh percubaan larangan melalui Terowong Menora itu.

Pada Isnin, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berharap cadangan pembinaan jalan pintas dari Gopeng ke Kuala Kangsar akan mengurangkan kemalangan maut berhampiran Terowong Menora, Kuala Kangsar.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan persekutuan sudah pun memberikan kelulusan terhadap pembinaan jalan baharu itu dengan jarak sejauh 64 kilometer.

Pada 12 Mei lalu, lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) rentung selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora.

Mangsa yang maut adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, (pemandu kereta), Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, (penumpang hadapan), Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.

Beberapa video kejadian itu dikongsi pengguna lebuh raya di media sosial menunjukkan keadaan api marak disusuli beberapa letupan.