Krisis kewangan: Sri Lanka terima AS$160 juta daripada Bank Dunia

Sri Lanka
Sri Lanka
A
A
A

COLOMBO - Sri Lanka pada Selasa menerima AS$160 juta daripada Bank Dunia, kata Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe di Parlimen pada Rabu, lapor Xinhua.

Wickremesinghe juga berkata, negara itu akan menerima geran daripada Bank Pembangunan Asia tidak lama lagi.

"Dana Bank Dunia tidak boleh digunakan untuk membeli bahan api. Bagaimanapun, kami akan membuat permintaan kepada bank itu sama ada sebahagian daripada wang itu boleh digunakan untuk menyelesaikan segera krisis bahan api," kata Wickremesinghe.

Menteri Tenaga dan Kuasa, Kanchana Wijesekera pada hari yang sama memberitahu Parlimen bahawa negara kehabisan stok petrol untuk dua hari berikutnya, namun memberi jaminan ia akan diselesaikan pada hujung minggu.

Sri Lanka menghadapi krisis ekonomi yang teruk sejak negara itu gagal membayar hutang luar negerinya pada 12 April 2022.

Perdana Menteri berkata, semua ahli Parlimen mesti bekerjasama untuk menyelesaikan krisis yang dihadapi oleh Sri Lanka, sambil menambah beliau akan membentangkan kepada Parlimen laporan komprehensif mengenai status kewangan negara pada minggu hadapan.

Wickremesinghe dilantik sebagai Perdana Menteri pada 12 Mei selepas Mahinda Rajapaksa meletak jawatan. - Bernama