Tiga juta telur aedes wolbachia dilepaskan di PPR Kempas

Tian Soon (tengah) melakukan proses melepaskan telur aedes wolbachia ke kawasan lokaliti PPR Kempas pada Rabu.
Tian Soon (tengah) melakukan proses melepaskan telur aedes wolbachia ke kawasan lokaliti PPR Kempas pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak lebih tiga juta telur nyamuk aedes berwolbachia akan dilepaskan untuk membiak di kawasan lokaliti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, pelepasan telur aedes berwolbachia yang merupakan projek rintis bagi mengurangkan kes denggi itu akan dilakukan secara berperingkat mengambil masa lebih dua tahun.

Katanya, daerah Johor Bahru dipilih sebagai tempat pertama untuk melaksanakan projek nyamuk aedes berwolbachia kerana mencatatkan 64.5 peratus kes demam denggi di negeri ini.

"PPR Kempas merupakan kawasan 'hot spot' selain memiliki jumlah penduduk yang ramai.

"Pelbagai langkah kawalan dan pencegahan dilakukan bagi mengatasi pembiakan aedes termasuk projek nyamuk aedes berwolbachia.

"Nyamuk aedes wolbachia adalah nyamuk aedes yang disuntik bakteria wolbachia dan berfungsi untuk merencatkan keupayaan nyamuk aedes daripada menyebarkan virus denggi selepas membiak nyamuk aedes mengandungi bakteria wolbachia secara berperingkat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Kick- Off Projek Nyamuk Aedes Berwolbachia di Projek Perumahan Rakyat ( PPR) Kempas di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Menurut Tian Soon, kaedah kawalan aedes ini terbukti berjaya melalui kajian rintis dilakukan Selangor yang menunjukkan penurunan kes denggi sehingga 40 peratus.

"Sebanyak 14 siri pelepasan telur nyamuk aedes wolbachia akan dilakukan itu melibatkan 222,500 biji telur bagi setiap siri dengan anggaran kos 45 sen setiap biji.

“Kita akan buat kajian dulu, (selepas itu) kita akan mencadangkan projek nyamuk aedes berwolbachia ini dilaksanakan di kawasan hotspot denggi yang lain di negeri ini," katanya.

Untuk tempoh 1 Januari sehingga 14 Mei tahun ini, kes kumulatif denggi menunjukkan penurunan sebanyak 41.2 peratus kepada 566 kes berbanding 963 kes.

Bagaimanapun, bagi minggu Epid 19 tahun ini, sebanyak 57 kes demam denggi dilaporkan berbanding 31 kes pada Minggu Epid 18 tahun ini dengan daerah Johor Bahru mencatatkan kes paling tinggi iaitu 22 kes.