Kes HFMD di Johor meningkat 12.8 kali ganda

Tian Soon (tengah) dan Aman (kiri) pada sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Kick-Off Projek Nyamuk Aedes Berwolbachia di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Permai, Johor Bahru pada Rabu.
Tian Soon (tengah) dan Aman (kiri) pada sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Kick-Off Projek Nyamuk Aedes Berwolbachia di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Permai, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini dilaporkan meningkat sebanyak 12.8 kali ganda bagi tempoh 1 Januari hingga 14 Mei tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, sehingga Minggu Epid 19/2022 (yang berakhir 14 Mei), sebanyak 1,237 kes HFMD telah dilaporkan berbanding 97 kes pada tempoh sama pada 2021.

Katanya, peningkatan itu telah dijangka berlaku pada tahun ini ekoran kelonggaran prosedur operasi standard (SOP), bagaimanapun situasi masih terkawal.

"Di Johor, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur sehingga enam tahun iaitu sebanyak 1,127 kes (91 peratus), diikuti oleh kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun iaitu 94 kes (lapan peratus), dan selebihnya adalah berumur lebih daripada 13 tahun.

"Sehingga kini, sebanyak tujuh wabak aktif HFMD dilaporkan di mana daerah tertinggi mencatatkan kejadian wabak aktif ialah Kluang (lima) dan diikuti daerah Tangkak (dua).

"Majoriti lokasi penularan wabak di negeri ini sehingga minggu Epid 19/2022 berlaku di taska sebanyak 18 wabak diikuti oleh rumah persendirian (lapan), tadika (tiga) dan pusat jagaan kanak-kanak (satu)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Kick-Off Projek Nyamuk Aedes Berwolbachia di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Permai di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Jelasnya, memandangkan kebanyakan penularan berlaku di institusi penjagaan kanak-kanak, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) meminta pengusaha institusi penjagaan mengambil langkah berjaga-jaga berikut bagi mengurangkan risiko jangkitan.

"Setakat ini belum ada arahan taska yang diarahkan tutup kerana keadaan sekarang masih terkawal dan belum merebak.

"Sama seperti situasi Covid-19, pengusaha taska perlu pantau simptom kanak-kanak. Jika kanak-kanak mempunyi simptom HFMD mereka dinasihatkan pulang ke rumah untuk menjalani kuarantin dan segera bertemu doktor bagi mendapatkan rawatan," katanya.