Pegawai kanan, pesara kerajaan ditahan SPRM

SPRM
SPRM
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan negeri dan seorang pesara kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki menerima rasuah kira-kira RM700,000.

Kedua-dua suspek berusia 43 dan 68 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 pagi Rabu ketika hadir di pejabat SPRM Sabah.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan selepas dipercayai meminta dan menerima wang suapan daripada sebuah syarikat kilang sawit sebagai balasan untuk melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan kepada Kementerian Kewangan Sabah (MOF).

Tindakan kedua-dua suspek itu telah menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan Sabah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy mengesahkan tangkapan itu berkata, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Kedua-dua suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambah beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan beberapa lagi tangkapan susulan akan dilakukan oleh SPRM Sabah.