Sesi penggulungan perbahasan Kementerian Kewangan kecoh

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sesi penggulungan perbahasan titah diraja bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini kecoh setelah berlaku 'pertembungan' di antara Menterinya, Lim Guan Eng dan Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga bekas menteri kewangan.

Ia bermula apabila Najib yang juga bekas perdana menteri, bangun meminta pencerahan berhubung jumlah hutang kerajaan yang meningkat sebanyak RM87.1 bilion kepada RM773.1 bilion pada masa ini berbanding RM686 bilion pada penghujung 2017 mengikut data rasmi Bank Negara Malaysia.

Guan Eng berkata jumlah hutang itu antaranya disumbang oleh hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Memang licik pentadbiran lama kerana kita tahu 1MDB hutang begitu besar tidak termasuk dalam angka rasmi hutang kerajaan kerana semua dibuat secara ‘off balance sheet’ (pembiayaan luar kunci kira-kira)...ia terpaksa juga dibayar oleh pihak kerajaan sungguhpun ia tidak dipinjam secara langsung oleh kerajaan Malaysia dan bila kita sebagai penjamin, kita terpaksa membuat bayaran sungguhpun kita bukan peminjam utama," katanya.

Keadaan bertambah tegang apabila Lim membangkitkan isu penjualan hartanah konsulat Malaysia di Hong Kong. "Baru-baru ini, saya baca dalam surat khabar dan Yang Berhormat (Najib) menyatakan mengapa nak jual hartanah yang dimiliki konsulat Malaysia di Hong Kong.

"Beliau membantah penjualan konsulat di Hong Kong, saya memaklumkan kepada Yang Berhormat Pekan (Najib), keputusan jual (hartanah) konsulat di Hong Kong itu dibuat oleh beliau sendiri semasa pentadbiran Barisan Nasional," katanya menambah ia turut dilakukan secara ‘direct negotiation’ (rundingan terus).

Najib kemudian bangun bertanyakan sama ada projek terowong di Pulau Pinang dibuat secara tender terbuka atau tidak yang mencetuskan laungan 'terowong' oleh blok pembangkang.

Dalam pada itu, Lim berkata kerajaan terpaksa ‘menyelamatkan’ projek Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia yang kehilangan dana ekoran penyelewengan dan skandal 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata projek TRX berpotensi tinggi dalam mengorak langkah masa depan negara, namun skandal berkenaan menyebabkan pelabur asing menjauhkan diri daripada projek tersebut.

"Selepas melakukan proses pemulihan di bawah kerajaan Pakatan Harapa, kami berjaya memulihkan keyakinan pelabur asing terhadap TRX dan Malaysia. Kini TRX adalah sebuah projek bebas rasuah dan mendapat kepercayaan pelabur dalam serta luar negara," katanya. -Bernama