Penjawat awam ditahan dakwa terima rasuah RM80,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan berhubung kes meminta suapan berjumlah kira-kira RM80,000.

Sumber berkata, suspek berusia 35 tahun itu merupakan seorang penolong jurutera di salah sebuah agensi kerajaan disyaki meminta suapan bagi membantu mendapatkan kerja-kerja pembaikan sebuah sekolah di satu daerah di Selangor.

"Lelaki itu adalah pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan projek terbabit," katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan ditahan oleh sepasukan pegawai SPRM Selangor bagi membantu siasatan, setelah menerima wang tunai RM10,000 daripada seorang individu lain di sebuah restoran di Bangi kira-kira jam 4 petang Selasa.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman," katanya.