Kes dera anak saudara: Polis akan panggil jiran

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

IPOH - Polis akan memanggil beberapa saksi termasuk jiran suspek bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak maut akibat didera oleh ibu dan bapa saudara dalam masa terdekat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, penderaan terhadap mangsa dipercayai berlaku pada awal tahun 2022 selepas mangsa diberikan hak penjagaan daripada ahli keluarga yang lain.

Menurut beliau, pada awalnya kanak-kanak malang itu bersama adiknya dipelihara oleh seorang ahli keluarga di Lembah Kelang sebelum diserahkan kepada suspek disebabkan masalah kesihatan pada awal tahun ini.

"Kita akan panggil beberapa saksi yang terlibat mungkin jiran kerana suspek meniaga di hadapan rumah, jadi kita akan panggil saksi di sekeliling mereka untuk menyokong keterangan yang ada.

"Kedua-dua suspek kini masih lagi direman untuk melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi menentukan sama ada mereka akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Ahli Jawatankuasa Perhubungan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Perak di Kelab Golf Diraja Perak, di sini pada Selasa.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob dan Pengerusi MCPF Perak, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan.

Mior Faridalathrash (dua dari kanan) menyampaikan sijil pelantikan kepada Orang Besar Jajahan Muallim, Datuk Dr Safry Kamal Ahmad pada Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Ahli Jawatankuasa Perhubungan MCPF Perak di Kelab Golf Diraja Perak, di sini pada Selasa.
Mior Faridalathrash (dua dari kanan) menyampaikan sijil pelantikan kepada Orang Besar Jajahan Muallim, Datuk Dr Safry Kamal Ahmad pada Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Ahli Jawatankuasa Perhubungan MCPF Perak di Kelab Golf Diraja Perak, di sini pada Selasa.

Sementara itu, mengenai keadaan semasa adik mangsa, Mior Faridalathrash berkata, kanak-kanak berusia enam tahun itu dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini.

Pada 15 Mei lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun meninggal dunia disyaki akibat didera oleh pasangan suami isteri yang merupakan ibu dan bapa saudara mangsa.

Susulan itu, pasangan suami isteri berusia 40 tahun itu ditahan polis untuk siasatan lanjut dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.45 pagi dan hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian disebabkan beberapa kecederaan akibat objek tumpul pada anggota badan.

Pasangan itu direman selama seminggu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan juga suspek turut mempunyai empat orang anak yang turut menjalani pemeriksaan bagi mengenal pasti sama ada mereka turut didera atau sebaliknya.