16 Jun sebutan semula kes bunuh kanak-kanak, wanita

Laporan Sinar Harian berkenaan pertuduhan terhadap Khalid Redza dan anaknya.
Laporan Sinar Harian berkenaan pertuduhan terhadap Khalid Redza dan anaknya.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa menetapkan 16 Jun ini sebutan semula kes peniaga, Khalid Redza Shuib, 41, dan anak perempuannya berusia 18 tahun yang dituduh membunuh seorang kanak-kanak Mac lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan yang laporan kimia dan forensik masih belum diperoleh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa pada 3 Mac 2022 kira-kira jam 7 malam di sebuah rumah di Taman Nee Yan di Seremban telah menyebabkan kematian Hanan Hasrul Izwan, 5, susulan penemuan tengkorak dan cebisan tulang pada 7 April lalu.

Selain itu mahkamah turut menetapkan 16 Jun ini untuk sebutan semula kes Khalid Redza yang dituduh membunuh Meriammah Abdullah Basam, 29, pada tarikh antara 15 Mac 2022 hingga 17 Mac 2022 di lokasi sama.

Majistret Nurzaliza Tesmin turut menetapkan tarikh sama bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang wanita Siti Syarifah Aibiddin, 35, yang dilakukan antara 1 Disember 2021 hingga 24 Mac 2022.

Pada prosiding berkenaan, peguam pemerhati, Datuk Hanif Hassan yang mewakili pihak keluarga Siti Syarifah turut hadir.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen Seremban, Hakim Rushan Lutfi Mohamed turut menetapkan 16 Jun sebutan semula kes dihadapi Khalid Redza yang dituduh mencederakan seorang wanita dan melakukan pengabaian kepada kanak-kanak.

Keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan laporan perubatan juga masih belum diperoleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah kepada Siti Syarifah Aibiddin, 35, dengan cara menyimbah air panas sehingga kulit melecur mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan pengabaian ke atas seorang kanak-kanak bernama Sufiy Hasrul Izwan berusia 20 bulan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di lokasi sama antara 1 Disember 2020 hingga 23 Mac 2022.