Lelaki jatuh Jambatan Sultan Yahya Petra, pegawai kerajaan alami tekanan

Anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan menunjukkan lokasi terakhir lelaki tersebut dilihat terjatuh dari Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu. Gambar kecil: Muhamad Zaki
Anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan menunjukkan lokasi terakhir lelaki tersebut dilihat terjatuh dari Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu. Gambar kecil: Muhamad Zaki
A
A
A

KOTA BHARU - Polis mengesahkan lelaki yang terjatuh dari jambatan Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini pada Isnin adalah seorang pegawai kerajaan yang mengalami tekanan kerja.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, berdasarkan keterangan keluarga, lelaki berusia 46 tahun itu mengalami tekanan sejak setahun lalu.

“Setakat tengah hari ini, lelaki tersebut belum ditemui menyebabkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan.

“Siasatan awal mendapati kemurungan yang dialami lelaki itu adalah berpunca daripada tekanan kerja,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen pada Selasa.

Dalam kejadian pada jam 12.15 tengah hari itu, bapa kepada dua anak tersebut dikatakan meninggalkan motosikalnya di atas Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini, sebelum dia dilihat berada dalam sungai dan kemudian tenggelam.

Polis mendapati sebuah motosikal jenis Honda Wave berwarna hitam berada di atas jambatan terbabit yang dipercayai dinaiki lelaki itu sebelum dia dilihat berada dalam sungai.

Rakaman video kejadian tersebut yang diambil oleh orang ramai kebetulan menggunakan jambatan itu turut tular sejak Isnin.