Lapan PATI ditahan, baru pulang dari sambut raya di kampung

PATI yang ditahan di Tawau selepas cuba menyeludup masuk ke negara ini secara haram.
PATI yang ditahan di Tawau selepas cuba menyeludup masuk ke negara ini secara haram.
A
A
A

TAWAU - Tindakan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke perairan Tawau selepas pulang dari menyambut hari raya di kampung halaman membawa padah apabila ditahan Tim Quick Reaction Force (QRC) di Kampung Tintingan di sini, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, lapan PATI berusia antara dua hingga 40 tahun ditahan selepas dipercayai baru saja tiba dari Indonesia ke Tawau.

Komander Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2 Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, hasil tinjauan dan intipan yang dilaksanakan berjaya mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan.

"Bot berkenaan didapati menurunkan seramai lapan PATI bersama barangan persendirian secara berkumpulan di Kampung Titingan.

"Sebuah kenderaan jenis teksi dilihat membawa PATI berkenaan sebelum menurunkan mereka di Jalan Chen Fook dan melarikan diri apabila menyedari diekori Tim QRF.

"Tim QRF kemudian menahan lapan PATI berkenaan dan hasil pemeriksaan semua mereka tidak mempunyai permit yang sah untuk masuk ke negeri ini dan cuba memasuki negara secara haram melalui perairan Tawau," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Abdul Karim berkata, kesemua PATI memaklumkan bahawa mereka berasal dari Pulau Sebatik, Indonesia dan masuk ke Sabah bertujuan kembali ke tempat kerja setelah bercuti melawat keluarga di Indonesia.

"Kesemua PATI tersebut dibawa ke Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal dan berada di negara ini tanpa pas atau permit yang sah," katanya.