Azizah mahu pertahan kerusi Bersatu di Parlimen Beaufort

Azizah (dua dari kanan) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Srikandi Bersatu Sabah di SICC Kota Kinabalu.
Azizah (dua dari kanan) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Srikandi Bersatu Sabah di SICC Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Azizah Mohd Dun tidak berhasrat untuk melepaskan kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang disandangnya bagi Parlimen Beaufort pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Ketua Srikandi Bersatu Sabah berkata, Srikandi Sabah akan mempertahankan kerusi berkenaan walau siapa pun calonnya.

Bagaimanapun menurutnya, ia terpulang kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan mengenai calon, asalkan permintaan Srikandi supaya calon wanita dikekalkan di kerusi berkenaan.

"Parlimen Beaufort yang menyandangnya adalah seorang wanita, Srikandi. Yang bakal menggantikannya pun mesti daripada Srikandi.

"Kita ini dalam politik ada masanya kita kena berjuang, ada masanya kita bagi laluan kepada orang lain pula. Apa pun, itu kita serahkan kepada pucuk pimpinan, kerana keputusan itu (dari) pucuk pimpinan," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Srikandi Bersatu Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita jika beliau berhasrat untuk melepaskan kerusi Parlimen Beaufort yang disandangnya.

Sebelum itu, kerusi Parlimen Beaufort yang disandangnya kini dimenangi atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU14, namun beliau kemudiannya menyertai Bersatu sekali gus menjadikan kerusi itu adalah milik parti berkenaan

Beliau dalam pada itu turut mengulangi pendirian Srikandi Bersatu Sabah untuk mengemukakan empat calon wanita pada PRU15 ini.

"Calon-calon itu adalah dalam kalangan mereka yang telah kita kenal pasti dan kita akan kemukakan kepada pucuk pimpinan.

"Kita mahu juga apabila calon-calon itu nanti dinamakan, mesti ada rundingan dengan kita supaya kita dapat pastikan mereka ini adalah yang telah pun bekerja di kawasan masing-masing," ujarnya.

Jelas beliau lagi, calon yang dikemukakannya adalah mereka yang mempunyai potensi dan juga mewakili wanita daripada pelbagai sudut.

"Sekurang-kurangnya calon kita mempunyai pendidikan di peringkat diploma dan mereka sudah mempunyai pendedahan bukan sahaja dalam bidang politik tetapi dalam bidang kemasyarakatan serta mempunyai pengalaman yang sesuai kerana mereka akan menjadi pemimpin wakil rakyat di peringkat nasional.

"Jadi suara mereka itu mesti boleh membawa suara yang kuat, mantap untuk membawa suara rakyat dari Sabah khususnya daripada kalangan kaum wanita.

"Kita telah mengenal pasti sekurang-kurangnya empat kawasan termasuklah dari utara, pedalaman dan juga pantai timur," katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi berharap jika kepimpinan Bersatu Sabah dapat memberi lebih kerusi kepada wanita ia adalah lebih baik dalam usaha memperkasakan wanita di negeri ini.