Pemandu Myvi direman tiga hari

Polis merampas sebuah kereta Perodua Myvi warna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Polis merampas sebuah kereta Perodua Myvi warna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu kereta Myvi putih direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes memandu secara merbahaya dan membuat provokasi terhadap pemandu lain.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki berusia 31 tahun itu direman tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Semakan rekod mendapati suspek berkenaan mempunyai pelbagai rekod jenayah melibatkan penyalahgunaan dadah.

"Susulan daripada tangkapan ini, kami berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian kenderaan yang dilaporkan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Johor," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Eng Lai berkata, pihaknya menahan suspek di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor pada jam 4.05 petang Khamis.

"Kami merampas kunci kereta berlambang Perodua bersama alat kawalan jauh, sebuah kereta Perodua Myvi warna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu serta sebatang rotan panjang.

"Kami turut merampas sebuah motosikal Yamaha Ego Avantiz, Yamaha Nouvo LC dan KTM 790 Adventure yang juga menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Pada Khamis, media melaporkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor menahan suspek bersabit kes memiliki dadah, pada Isnin.

Sementara itu pada Ahad lalu, tular satu video berdurasi 27 saat memaparkan sebuah Perodua Myvi membuat provokasi dan halangan terhadap pemandu kenderaan lain di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Taman Layang-Layang di sini.