X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Lokasi nahas rentung catat 17 kes kemalangan

Terowong Menora
A
A

KUALA KANGSAR - Laluan di Kilometer 231.4 hingga 257.8 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora yang menjadi lokasi tragedi lima pelajar rentung, Rabu lepas telah merekodkan 17 kes kemalangan dalam tempoh setahun.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, nahas yang direkodkan antara Mac 2021 hingga Mac lepas telah menyebabkan dua kematian dan kecederaan kepada 11 mangsa.

"Daripada 17 kemalangan itu, 11 kes melibatkan kenderaan berat iaitu lori dan treler yang terbabit dalam kemalangan disebabkan terbabas dan terbakar.

"Dua kematian yang dilaporkan dalam tempoh itu adalah melibatkan pemandu lori," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kesesakan di lebuh raya terutama pada waktu pertambahan kenderaan antara faktor yang melambatkan usaha jentera bomba tiba awal di lokasi nahas.

Katanya, bomba juga berdepan kemungkinan kekurangan sumber air disebabkan ketiadaan pili bomba di kawasan kejadian.

Muhamad Shahrizal
Muhamad Shahrizal

"Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar akan memberi respon awal bagi setiap insiden di lokasi berkenaan sebelum dibantu balai berhampiran.

"Tiada akses mudah untuk ke lokasi kejadian menyebabkan jentera bomba terpaksa membuat pusingan U sebelum Terowong Menora pada jarak lebih kurang 24 kilometer," katanya.

Dalam kemalangan sekitar jam 12.52 malam di Kilometer 245.2 itu, lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang menaiki kereta Honda City rentung selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler.

Mangsa terlibat adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.

Siasatan awal mendapati, treler muatan pagar besi dipandu seorang lelaki tidak sempat membrek ketika melalui lokasi kejadian lalu merempuh belakang kereta yang dinaiki lima mangsa terbabit.

Rempuhan menyebabkan kereta yang dipandu di lorong kiri diseret hingga melanggar bahagian belakang sebuah lagi treler membawa muatan mozek di hadapan sebelum terbakar.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!